Wednesday, December 22, 2004

eCosway Menjadikan Kehidupan Berbeza

Kuala Terengganu 22 Dis 2004 - Rasanya posting terakhir untuk tahun ini. Pakteh jarang-jarang dapat peluang untuk online kerana rumah pakteh di kampung tiada talian internet. Apabila sekali sekala berpeluang singgah di CC dan tidak terlalu sibuk sempatlah singgah di ruangan ini untuk mencatatkan sesuatu.

Diam tak diam kita sudah berada di penghujung tahun 2004. Ia akan berlalu meninggalkan kita. Apabila kita merenung sejenak, apakah sumbangan, kejayaan yang sudah dicapai sepanjang setahun 2004... pakteh menjadi sedih sebab tiada apa yang dibanggakan yang pakteh sudah lakukan. Hidup kita ini seperti "Rat Race" yang hanya berpusing di roda tetapi tidak sampai ke mana malah penghujungnya kita tidak mungkin tiba.

Kini ada sahabat pakteh (Hj Nik Ahmad Kamal) namanya yang memperkenalkan eCosway kepada pakteh. Pada mulanya pakteh join ecosway untuk beli barang murah sahaja... akan tetapi setelah beberapa lama, dah Nik rajin memberi tunjuk ajar kepada pakteh, maka pakteh percaya suatu hari ia akan menjadi realiti iaitu berubah nasib diri kepada yang lebih baik dari sudut ekonomi. Apa yang pakteh lakukan? Kerja pakteh ialah jalani kehidupan seperti biasa menggunakan kaedah yang ditunjukkan oleh sahabat saya tu, dan pakteh kena sampaikan berita mengembirakan ini kepada orang lain supaya orang lain juga memperolehi manfaatnya.

Kepada sesiapa yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut, silalah hubungi pakteh 0137300520. Hantar SMS lah... sebab line phone tidak berapa elok di kediaman pakteh. Jumpa lagi semua.... Pakteh.

Saturday, November 27, 2004

Enam bulan berlalu. Tidak ada apa-apa perubahan sangat berada di tempat sendiri. Cuma pakteh dalam proses turun ke sekolah rendah awal tahun 2005 nanti. Buat masa la ni, pakteh aktif dalam bisnes ecosway... anda juga boleh join.

Friday, April 23, 2004

BERTOLAK KE TRG

BDR MAS 23 Apr - Kira-kira 5 hari juga pakteh berada di Bdr Mas. Urusan penyerahan tugas selesai. Hari ini, servis kereta sikit. Sikit pun habis RM300 lebih juga. Esok akan bertolak ke tempat bertugas di Setiu. Di SMK Chalok, Setiu. Bermulalah tugas di sana sepenuhnya mulai Ahad 25 April 2004.

Sememangnya terasa sedih untuk meninggalkan kawan-kawan seperjuangan di Bdr Mas ini. Akan tetapi tugas di sana lebih penting. Dan... yang lebih utama lagi ialah, tempat baru itu adalah kampung halaman pakteh sendiri. Buat sementara isteri & anak-anak ditinggalkan di Bandar Mas.

Wednesday, April 21, 2004

POTONG RUMPUT (RUTIN SEBELAH PETANG)
Sudah 2 hari (petang sahaja) terutama selepas asar pakteh potong rumput. Minggu ini adalah perkhidmatan terakhir yang pakteh dapat sumbangkan di Bandar Mas. Hujung minggu ini (Sabtu) pakteh kena bertolak ke Kuala Terengganu. Ahad naik sekolah semula dan nampaknya akan bergelumang di SMKC pula lah. Memang sudah tugas... pakteh.
SERAH TUGAS DI SMKBM
Bdr Mas, 21 April 2004 - Proses penyerahan tugas berjalan lancar. Hari ini pakteh serah tugas Koperasi SMKBM Bhd. Kunci Koop juga telah diserahkan.

Selain itu, borang keluar quarters juga telah diserahkan kepada kerani, untuk dihantar kepada PPD dan borang tuntutan pindah telah dihantar untuk tindakan kerani SMKBM, Cik Marina Awang.

Monday, April 19, 2004

SEMALAMAN MEMANDU KE BDR MAS



Setiu 18 Apr - Pakteh bertolak dari Kg Langkap jam 6.00pm dan tiba di Bandar
Mas 19 Apr 2004 jam 9.00am. Lamanya!. Pakteh berhenti rehat di Jamaluang Mersing, Johor kira-kira 3.30am sebelum menyambung perjalanan keesokannya. Kepenatan. Memandu pun sudah tidak stabil lagi, walaupun pakteh bertekad hendak sampai Bandar Mas secepat mungkin. Rindu nak jumpa keluarga pakteh di Bandar Mas, terutama anak bongsu pakteh.


20 April 2004 - Pakteh melapor diri untuk urusan penyerahan tugas di SMKBM.


Saturday, April 17, 2004

SMKC (SMK CHALOK) - Model Khas

SETIU 15 April - Pakteh memandu ke Kuala Terengganu untuk ke Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu. Dengan mudah sahaja, pakteh tiba di pejabat berkenaan. Masa pakteh nak masuk ke bangunan pejabat itu yang susah sebab pakteh parking kereta jauh sangat. Tambahan pula pakteh lupa pintu masuknya. Terpaksa mengelilingi pagar untuk mencari pintu masuk ke pejabat. Kira berpeluh juga lah. Maklumlah buat masa ini, cuaca panas terik. Bahkan menurut penduduk tempatan sudah lebih 2 bulan hujan tidak turun.

Alamak...!

Yang pakteh sudah tawaf pagarnya ini, bukan JPNT lagi. Sudah jadi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) pula rupanya. PPD Kuala Terengganu. Wah! lama sangat pakteh bertugas di Johor, hinggakan JPNT pindah pejabat pun pakteh tidak tahu. Setelah mendapat penjelasan tentang kedudukan (alamat) JPNT yang baru, pakteh keluar PPD Kuala Terengganu untuk ke JPNT pula.

Ringkas cerita....

15 Apr - Pakteh dapat surat dimana pakteh di tempatkan hari ini. Dan tentu pakteh gembira sekali menerima surat itu. SMKC nama sekolah yang tertera di surat yang dipegang di tangan pakteh.

Pakteh memandu (berpatah balik) ke daerah setiu semula untuk ke SMKC itu. Sekolah Men Keb Chalok (model khas), setiu. Itulah sekolah yang pakteh tuju. Memang tidak payah cari lagi. Pakteh selalu nampak sekolah itu. Jaraknya dengan rumah orang tua (kampung pakteh) kira-kira 15 minit naik kereta sahaja.
LAPOR DIRI DI SMKC (MODEL KHAS)

KUALA TERENGGANU 14 April 2004 - Pakteh tiba di Kuala Terengganu kira-kira pukul 11.00pm setelah memandu dengan penuh berhemah dan berhati-hati sekali. Maklumlah kereta pun dah uzur. Lantaran kepenatan, pakteh berehat seketika di pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu. Terlelap juga di dalam kereta, kira-kira 1 jam. Sebaik terjaga, pakteh mula ronda-ronda bandar Kuala Terengganu untuk mencari masjid yang boleh pakteh tumpang berehat, mandi dan sebagainya. Hasilnya, tiada satu masjid pun yang boleh digunakan, semuanya dikunci. Lalu pakteh nekad untuk meneruskan perjalanan ke kampung sahaja (Kg Langkap).

Pukul 2.00am - pakteh tiba di perkarangan rumah orang tua pakteh (ibu pakteh la tu). Oleh kerana pakteh tidak mahu menyusahkan sesiapa, pakteh tidur saja dalam kereta.

Wednesday, April 14, 2004

Bertolak ke KUALA TERENGGANU..... selamat tinggal kawan-kawan.... selamat tinggal smkbm

SELAMAT TINGGAL KAWAN, MURID SMKBM YANG TERSAYANG



TIDAK dinafikan bahawa pakteh emosi sekali ketika berada dalam majlis
perpisahan itu. Terima kasih untuk semua yang menganjurkannya terutamanya pihak ajk Kelab Keluarga SMKBM. Namun hakikatnya pakteh sudah pasti pindah sekolah. Dapat balik kampung. Bertugas di negeri kelahiran pakteh, Terengganu. Doa pakteh sekian lama termakbul. 12 tahun pakteh menunggu.


Masa posting dulu, pakteh masih bujang. Ketika itu pakteh masih muda dan bertenaga untuk menjalankan tugasnya. Selepas 12 tahun, kini pakteh sudah banyak yang memutih rambutnya. Gigi pakteh pun ada yang sudah sakit. Lutut Pakteh sudah semakin lemah. Naik tangga sikit sudah mula sengal-sengal. Anak pakteh sudah ada 3 orang. Anak yang sulung darjah 4 dan yang paling kecil berusia 2 tahun. Itulah tempuh waktu yang pakteh lalui dengan penuh harapan untuk pulang ke kampung halaman. Pulang di samping ibu yang sudah uzur. Semakin hari semakin uzur.


Pakteh masih ingat rentetan peristiwa utama sepanjang pakteh bertugas di smkbm. Namun pakteh ingin mengingati yang indah-indah sahaja. Pengalaman pahit pakteh tinggalkan di sekolah lama pakteh. Lagipun pengalaman indah di sini (smkbm) tidak banyak. Kalau pakteh ketawa sekalipun, pakteh hanya ketawa zahirnya sahaja. Di dalam hati, pakteh bersedih kerana terpaksa merantau jauh. Sedih kerana lama sangat pakteh terpaksa menunggu hari perpindahan pakteh, seperti hari ini. Esok
14 Apr 2004 pakteh akan bertolak ke Terengganu, untuk melapor diri di tempat baru.


Tentu pakteh akan merindui anak pakteh, terutamanya yang bongsu. Anak kecil pakteh baru faham sikit-sikit retak kehidupan. Pakteh bersendirian sahaja di Terengganu sehingga cuti semester bulan Mei 2004 nanti. Isteri & anak-anak masih di Johor kerana bersekolah di SKBM. Pakteh
fikir cuti penggal penghujung bulan Mei nanti baru pindah sepenuhnya. Baru
pakteh tukarkan persekolahan anak-anak pakteh.


Sesekali wajah isteri pakteh terbayang di benak pakteh. Wajah itu turut
gembira. Dari semalam (12 Apr) dia sudah mengemas barang-barang. Padahal nak pindah rumah, lama lagi. Masih ada masa 1 bulan lagi untuk mengemas itu semua. Anak-anak pakteh yang lain juga terut membantu ibunya. Bagus semuanya anak-anak pakteh. Bagus anak-anak soleh pakteh. Suka tolong ibu.



13 APRIL 2004 - Majlis Perpisahan Pakteh



Satu majlis perpisahan ringkas (tapi bermakna bagi pakteh yang low profil ini) telah diadakan. Majlis anjuran Kelab Keluarga(KK) SMKBM. KK smkbm ini
dipengerusikan oleh En Suhaimi Omar (ketika ini). Jamuan makan tengahari dan
ucapan yang dihadiri oleh semua guru dan kakitangan juga.



Dalam sesi ucapan, pakteh tergamam. Pakteh tidak dapat meneruskan ucapan perpisahan, kecuali beberapa kerat ayat yang bermaksud memohon maaf sahaja. Kawan-kawan seperjuangan yang ditinggalkan di smkbm harapnya faham. Bukan pakteh sombong, tapi pakteh tidak dapat meluahkan kata-kata. Sebab itu pakteh tuliskan sahaja di sini.



Tulis dengan cakap mungkin tak sama. Kalau cakap, mungkin nampak lebih dramatik sikit. Tulis, hanya untuk yang membacanya sahaja.



Apakan daya, pakteh hanya mampu menulis. Selebihnya, biarlah Tuhan yang menentukan. Kepada yang terjumpa mesej pakteh ini, panjang-panjangkanlah kepada warga smkbm terutama Tn Hj Idris Ahmad (pengetua). Pakteh mohon banyak maaf daripada tuan haji. Pakteh banyak buat tuan haji susah (tengah menaip pun menitis air mata juga ni). 



Buat bekas anak-anak didik pakteh, pakteh juga mohon maaf kerana tidak dapat bertemu kesemuanya. Pakteh tak boleh. Kalau jumpa anak-anak didik nanti, banyak menangis pulak. Orang Jawa kata, "cengeng" sikit pakteh ni, walaupun nampak garang. Mana-mana anak didik yang terkena penangan pakteh tu, pakteh mohon maaf. Niat pakteh murni, pakteh mahu anak-anak didik jadi pelajar yang berguna. Maafkan ustaz yasin ya... (pakteh).



Pakteh berhenti di sini dulu... sebab pakteh nak ke Trg pula ni.


Monday, April 12, 2004

Oh! Boleh tahan!. Penat badan. Banyak kerja gitu, kerana terpaksa menyiapkan kerja-kerja pengurusan memandangkan esok lusa akan diadakan majlis serah tugas. Mulai 16 Apr 2004 ini, pakteh akan memulakan tugas di tempat baru.

Pakteh mengalu-alukan kunjungan Cik Laili dan yang lain-lain. Teguran yang diberikan itu pakteh akan baiki dari semasa ke semasa. Buat masa sekarang ini, memang tidak ada masa sangat.

Sunday, April 11, 2004

Baru balik dari perkhemahan asas unit uniform yang dianjurkan oleh unit Kokurikulum SMKBM. Tugas pakteh di kem itu sebagai Kem Komander. Kem di adakan di Tapak Perkhemahan SMKBM.

Dapatkan biodata atau maklumat lanjut pakteh di laman web... Pakteh Ehome V3.1