Tuesday, January 23, 2007

Lock

Dua hari yang lalu. Di kerusi batu depan rumah aku. Dia datang. Naik kereta Wira Auto warna kuning lumpur lepas banjir. Aku panggil dia Mr. Jun, tapi nama sebenarnya lain. Dia tidak marah aku panggil dia begitu. Dia tidak tahu apa-apa. Aku panggil dia Mr Jun sebab sikap dia gila-gila sikit. Mr Jun itu, maksudnya macam majnun juga lah. Harap Mr Jun tidak baca entri aku ini.

"Macam mana cara nak lock channel Astro. Anak kawe dok nak tenguk channel 'ceria' sokmo. Make nasik pun tak nak" Mr. Jun terus tanya sebaik sahaja melabuhkan punggungnya atas kerusi batu. Pertanyaan itu ditujukan kepadaku. Aku berdua dengan dia.

Anak dia pun aku kenal. Aku panggil dia Mamat. Hari ini Mamat tidak datang bersama. Nama penuh dia aku tidak ingat. Aktif. Fuh! semangat. Ada masalah hyper-aktif. Menurut bapanya, Mr Jun.

"Mudah je... dia (Astro) ada hantar cara-cara lock channel dalam majalah bulanan dia. Nanti kawe ambik" Aku.

Cakap bahasa 'jerman' belaka. Kawe maknanya kawan, bermaksud saya. Sokmo = Sepanjang masa. Dok maknanya hanya. Make nasik maksudnya makan nasi.

Aku masuk ke dalam rumah. Sekejap, keluar semula. Bawa majalah lama Astro. Selak sana selak sini. Ada. Ya ada. Mukasurat yang menerangkan cara lock channel. Aku koyakkan mukasurat itu. Tunjukkan kepada Mr. Jun.

"Mu bawa balik kertas ini... try. Senang saja tu" aku. Malas nak terangkan lebih-lebih. Biar dia cuba sendiri.

Hari ini. Pukul 6.30pm kurang lebih. Tit-tit... tit-tit... Senyap. SMS masuk. Aku tahu. Itu telefon rumah yang berbunyi. Telefon rumah pun dapat terima SMS. Canggih. Teknologi CDMA. Apa kebendanya, aku tidak tahu. Orang kata cdma, aku sebut CDMA juga.

SMS Mr Jun: Pakteh, bakpo takleh juga lok siaran ceria walaupun kawe dah kod 5 butir kosong?

Eh! belum dapat lagi orang tua ini. Aku fikir. Aku tekan reply. Taip masej menggunakan talian tadi. Talian rumah.

SMS aku: Malam nanti aku SMS cara-cara. Kena taip dulu. Panjang juga tu.

Aku tekan send. Sampul surat nampak terbang. Nokia.

Aku dapatkan PDA atas gerobok. Sedang cas. Cabut dari pengecas. Mula taip mesej cara-cara lock.

SMS aku:

Cara lock / unlock channel Astro:

Elok demo salin dulu msj ini atas kertas... takut ada virus.

MENU - List of services - OK - (guna ank panah ke bwh hingga jumpa channel yg kita nak LOCK) - OK (Lock / Unlock) - Enter PIN ++++ - OK (keluar ikon ibu kunci / mangga).

MENU - MENU (1x lagi) = Siap.

Password dia = 0000 (0 empat kali)

Kalau tak boleh juga, tenguk kiri & kanan - cari benda keras. Atau pun boleh juga guna alu lesung... Ketuk kepala demo dan kepala Mamat. Ka ka ka... Semoga berjaya. Kalau sudah berjaya, SMS kepada kawe pakai nombor 013 deh. Nombor ini la.

Panjang mesej aku taip. Guna PDA. (Nunjuk-nunjuk bin ngada-ngada sikit) Tekan Send.

Selepas 5 minit, dapat satu SMS lagi.

SMS Mr Jun: Tak dapat. Dia kata incorect pin. Buat dah 4 kali 0.

Isk. Geram aku. Macam mana boleh tak dapat, aku berfikir sendiri. Taip satu lagi. Mesej.

SMS aku: Itu kawe tak tahu. Demo pernah set dah nombor pin lain dulu. Tanya Astro la. Jangan tanya anak lesung batu... Kua kua kua.

Send lagi.

"Suka hati engkau lah Mr Jun" aku cakap pada diri sendiri. Aik! Sudah jadi macam 'majnun' juga? Kua kua kua.

Friday, January 19, 2007

Buku Masuk Barisan

Membaca. Buat-buat suka. Lebih baik dari tidak. Kalau kita baca, ada lah perkara baru yang ditemui. Baris-baris ayat dalam buku itu adalah luahan hati menulis kepada kita.

"Buku apa Pakteh... M A S U K B A R I S A N.... lain macam saja?" sapa Haliza, kawan sekerja aku.

"A..ah. Ala buku cerita..." Aku kemalu-maluan menjelaskan.

Usia 38 tahun sepertiku bukan buku cerita yang sepatutnya aku baca. Namun aku tidak peduli apa orang kata. Bukan haram, sekadar baca.

Buku bertajuk Masuk Barisan yang ditulis oleh Basri itu memang menarik perhatian sesiapa pun yang memandangnya. Termasuklah aku. Aku dapat buku itu melalui internet. Selaku pengguna, buku di tanganku ini, agak mahal harganya. Bayar secara online. Buku dikirim dengan Pos Ekspress ke alamat rumah aku. Tidak mengapa. Redha.

Basri hanya penyusun. Bukan penulis. Penulisnya adalah entri-entri blog blogger yang lain. Saya suka. Semua.

Di tempat aku. Terengganu. PAS dan Barisan Nasional. Sensitif. Sebelum ini PAS memerintah Terengganu. Sekarang UMNO atau BN. Tahun 2008. Belum pasti. BN juga agaknya.

Aku baca buku Masuk Barisan, seolah-olah aku hendak tukar parti. Nak masuk BN. Itu lah agaknya yang kawan aku fikir. Aku bukan minat politik. Usia aku. Rambut sudah beruban. Belum pernah memangkah. Belum pernah mengundi untuk pilihanraya. Belum daftar pemilih. Berkecuali. Terengganu. PAS dan BN. Isu sensitif.

Buku Masuk Barisan yang berasaskan koleksi blog entri ini, belum habis baca. Aku baca lambat-lambat. Cuba menikmati setiap patah ayat. Aku ingin belajar sesuatu dari entri dalam buku.

Sebelum ini. Dua minggu yang lalu. Aku baca buku Ayah Kita Bos dihasilkan oleh Tokrimau. Ya ya. Tok Rimau dan Naga. Konsep. Sama macam Buku Masuk Barisan.

"Suka-suka saja Haliza... tak ada apa nak dibaca" aku kemudiannya menjelaskan sambil menghulurkan buku di tanganku kepadanya.

Haliza menyambut dan menyelak pantas buku itu dari kulit depan hingga belakang.

"Oooo... ok juga" Haliza.

Monday, January 15, 2007

"Jakun" Tenguk Mesin Jahit

Baru hari ini aku beli alat ganti yang rosak pada mesin jahit usang yang gagal berfungsi semenjak 6 tahun yang lalu. Enam tahun?. Lama. Aku berpendapat begitu, memandangkan anakku yang bongsu sudah berusia 6 tahun dan inilah kali pertama dia menyaksikan ibunya menggunakan mesin jahit itu. Aku tidak ingat semenjak bila mesin itu rosak. Bukan kerja aku. Lagipun isteriku tidak bersungguh memberitahuku yang mesin itu tidak boleh digunakan.

Mesin jahit itu memang klasik. Entah berapa tahun usianya. 20 tahun, mungkin. Aku beli mesin itu pun yang secondhand semasa kami tinggal di Bandar Mas, Kota Tinggi Johor. Awal 90an lagi. Sekarang sudah 2007. Pindah ke negeri kelahiranku sendiri di Terengganu, mesin klasik itu dibawa sekali. Ada nilai sentimental yang tersendiri pada mesin antik itu. Masih berkilat sebenarnya. Harganya aku sudah tidak ingat. Apa yang pasti tidak lebih RM200. Tambahkan RM25 untuk kos alat ganti yang kubeli siang tadi. RM225. Harganya.

Dengan mesin itu, isteriku melepaskan giannya dikala kami suami isteri berada di perantauan. Dulu. Baju raya anak-anak dijahitnya. Bukan pandai mana pun. Belajar menjahit tidak khatam. Baju kurung anak-anak, boleh lah. Pernah aku minta isteriku jahitkan baju melayu untukku. Menjadi, pakai sendiri.

Hari ini, isteriku sudah jadi macam artis. Dikerumuni tiga anak-anak yang menonton ibunya menjahit. Semuanya menunjukkan minat. Apa tidaknya, sudah lama mesin itu terperuk tepi dinding. Kini baru nampak macam mana dia bergerak bila pedalnya digoyang. Anak bongsuku yang paling "jakun". Ini kali pertama dalam usianya enam tahun, dia menyaksikan bagaimana mesin itu beroperasi. Aku pun macam jakun juga. Bukan kerana tidak pernah tenguk, cuma saja-saja hendak jadikan isteriku betul-betul macam artis yang dikerumuni peminat.

Saturday, January 13, 2007

Mat Daud Mula Kerja Sendiri

Hari ini hujan tidak selebat hari-hari sebelumnya. Aktiviti pada sebelah petang ialah minum-minum di warung macam biasa walau apa pun keadaan cuaca. Ramalan menyebutkan hujan dan angin kencang bakal berterusan untuk seminggu lagi. Terutama di negeri-negeri Pantai Timur. Kelantan, Terengganu, Pahang. Hingga minggu hadapan. Dengar laporan dari radio. Dua hari yang lalu.

Sudah ada tanda-tanda hujan dan angin akan berhenti. Sang mentari sudah mula menampakkan wajah sekalipun tidak segemilang selalu. Hari ini. Ada orang kurang senang pada Mat Daud. Bekas banduan.

Mat Daud entah datang dari mana tiba-tiba singgah di warung Biah. Tempat berkumpul. Menjadikan suasana di situ hangat dengan usikan Mat Daud. Pandai buat kelakar. Sedikit pun tidak kekok. Ada orang kurang senang pada Mat Daud. Bekas banduan. Suka pecah rumah orang. Ada orang kalau boleh tidak payah berselisih dengan Mat Daud. Meluat. Belasah orang pun nombor satu. Tidak boleh sembarangan cakap. Dengan Mat Daud.

Bila Mat Daud ada di kampung, masyarakat kampung rasa gelisah. Rumah mana yang bakal
dipecah masuk. Tidak kira siang atau malam. Jahat.

Kini Mat Daud sudah ada kerja. Sudah ada isteri. Sudah ada tempat tinggal. Tinggal rumah mertua. Mat Daud kerjanya sebagai orang tengah menebang kayu hutan dan kayu getah untuk dijual. Kira Tokey juga. Buat rundingan harga dengan pemilik kebun untuk tebang dan punggah ke kilang. Kira kerja haram juga. Kalau terserempak dengan pegawai perhutanan, tahu lah dia. Akibatnya.

Kayu hutan, kayu getah dan apa-apa kayu. Semua. Asal kayu. Dari sebesar tiang. Enam inci. Hingga sebesar batang balak pun. Boleh. Batang betik? Oh.. tidak. Kayu. Potong panjang-panjang. Sedepa. Lebih sikit. Sedang elok dimuat melintang ke dalam lori kecil. Kilang bikin kayu por. Katanya.

"Penat weh kijo... baru tau... selama ni, dok ambik hok oghe..." kata Mat Daud dalam loghat Kelantan.

Mat Daud yang sendiri kata. Orang lain ketawa. Pecah berderai. Bunyinya macam lawak. Apa maknanya, Mat Daud seorang yang arif. Dalam maknanya. Sesekali handphone Mat Daud berbunyi.

Tahu tak apa, ada yang mengiyakan dalam hati.

Wednesday, January 10, 2007

Rendahnya Maruah...

Usianya sudah melebihi 56 tahun. Cukup banyak pengalaman Paklah tentang resam hidup. Selok belok pentas dunia yang meterialistik. Itulah sebabnya apabila bercakap suara Paklah lantang dan lancar macam air bah yang melimpahi tebing sungai di belakang rumahnya yang hanya 300 meter itu.

Baru beberapa saat kereta kancil PDRM melintas depan warung Paklah. Paklah kaki berniaga. Dari muda hingga sekarang Paklah mesti tinggal di rumah kedai walau sudah berapa kali berpindah tempat dan bertukar bini. Tukar bini? Ya, bina lama Paklah yang pertama sudah bercerai, bina baru Paklah, janda muda waktu berkahwin dengan Paklah 20 tahun yang lalu.

"Tu, tenguk dah lalu. Nak gi tinjau keadaan banjir..." Paklah mengomel apabila kereta polis melintasi depan warungnya.

"Kerja dia..." sampuk Pakteh.

"Bukan nak tenguk banjir sangat... nak gi kedai tempat air ketum" Paklah sambung balik.

"Ya ker?"

"Dua tiga hari sekali, masuk kedai air ketum tu... ambil duit. Sekali masuk seratus" terang Paklah lagi. Pada wajahnya melimpah rasa kejengkelan dengan sikap polis.

Polis yang itu, bukan yang lain. Polis yang meronda di Kampung Merbau Menyusut. Polis lain mungkin bukan yang macam polis Merbau Menyusut yang balainya di Pekan Sungai Tong, 20km dari Merbau Menyusut. Gaji polis berapa lah sangat. Logiknya mereka tidak mampu hidup seperti sekarang. Mewah!

Dalam suara Paklah itu seperti ada sesuatu yang dia tidak berpuas hati dengan pasukan keselamatan yang menjaga keamanan ini. Seperti ada sedikit dendam dengan pasukan yang disanjung oleh kanak-kanak dalam rancangan Gerak Khas yang disiarkan di TV. Gerak Khas itu filem, berlakun. Bagus. Realitinya belum pasti.

"Ooo.." Pakteh mengangguk-angguk. Reaksi Pakteh seperti meminta Paklah meneruskan komentar.

Orang lain diam. Terbentang karpet sepi disimbah gerimis yang turun dan sesekali lebat. Musim tengkujuh seakan-akan mahu bermula.

Pakteh bukan berdua dengan Paklah. Ada lagi. Cikgu Razak, Guru Besar SK Merbau Menyusut pun ada. Pak Isa pun ada. Pak Isa pun orang kuat juga. Imam di Kampung Merbau Menyusut. Empat kepala, lapan biji mata saling bertaut. Pasti menanti huraian dan hujjah Paklah, tuan punya warung dan paling nyaring suaranya.

"Tak boleh ker... polis rampas periuk yang digunakan untuk rebus air ketum tu" tanya Paklah pada Pakteh. Sebenarnya pada semua orang, cuma Pakteh yang paling hampir dengan tempat duduk Paklah.

"Boleh... dia ada kuasa, cuma sengaja dia nak makan hasil lama.." Paklah jawab sendiri pertanyaannya.

"Ermm, emmm... begitu pulak..." Pakteh mengerutkan kening. Mata Pakteh dan Paklah tertancap erat antara satu sama lain.

Makjah yang bisnes air ketum itu pernah kena tangkap. Bayar denda, lepas. Jual lagi. Air ketum. Itu saja mata pencariannya.

Masyarakat kampung tidak boleh ambil tindakan lain lagi melainkan membuat laporan kepada pihak berkuasa. Polis. Polis kata tiada bukti. Budak-budak remaja, orang dewasa berbagai lapisan bertali arus. Ulang alik ke kedai Makjah. Dapatkan bekalan air ketum. Macam mana pula tiada bukti. Periuk dan dapur rebusan air ketum itu?

Jawatankuasa kampung nasihatkan Makjah supaya menghentikan perkhidmatan merebus air ketum. Merosakkan anak kampung kita sendiri. Makjah buat pekak macam badak.

"Ala mereka yang datang mencari. Saya bukan suruh anak-anak awak datang beli..." helah Makjah suatu hari.

Orang kampung gigit jari. Cebik bibir. Air ketum jual juga.

"Tak faham aku" keluh Paklah.

"Ya... ya"

"Anak bujang aku pun dah terikut sama. Geng minum air ketum. Nak buat macam mana... benda depan mata. Nak kawal macam mana, budak dah besar" panjang lebar luahan rasa Paklah. Barangkali sudah lama dipendamkan di lubuk jiwa.

"Kita pun tiada bukti untuk tuduh polis makan rasuah dari Makjah" Pakteh cuba menenangkan keadaan.

"His!... sebodoh-bodoh orang kampung ni, boleh baca apa yang polis buat"

"Memang... saya pun fikir begitu. Cuma polis tu, lebih bijak dari kita. Kita tak boleh nak perangkap dia terima rasuah" kata Pakteh dengan nada perlahan. Biasalah, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar.

"Tokey getah pun gitu. Dia datang mintak duit juga. Sebab itu lah orang Thailand bebas kerja menoreh di kampung kita ni" Paklah kemukakan bukti dan contoh lain.

"Ya tak ya juga... bukannya ada permit dia orang tu" Pakteh mengiyakan dalam hati.

Semua orang kampung boleh faham apa yang berlaku antara polis, Makjah dan tokey getah itu. Sogokan tentu ada. Cuma payah nak dibuktikan dengan bahan atau wang yang disogokkan.

Bagaimana mungkin polis biasa pakai kereta wira atau waja. Anak sekolah dua tiga orang. Isap rokok Dunhill. Rokok saja sudah berapa kosnya sebulan. Gaji polis berapa lah sangat. Logiknya mereka tidak mampu hidup seperti sekarang. Mewah. Itu yang mencurigakan orang kampung. Cuma orang kampung tetap orang kampung. Tidak boleh buat apa-apa. Setakat berhujjah di kedai kopi. Mengalahkan menteri. Satu pun tidak menjadi.

Monday, January 08, 2007

Mohon Mengajar Yayasan Islam

Dalam ruang pejabat Yayasan Islam itu ada 3 pegawai. Satu lelaki dan dua perempuan. Letaknya di tingkat satu bangunan. Ada beberapa set meja kerani yang kosong. Waktu rehat agaknya, ustaz berkira-kira. Ustaz datang ke pejabat ini bukan hendak buat pemeriksaan mengejut petugas Yayasan Islam, ustaz datang hendak mohon jawatan sebagai tenaga pengajar kelas Fardu Ain petang di sekolah.

"Isi borang dulu ya"

"Wah kena isi borang juga... ingat ker dah tak payah" balas ustaz secara berseloroh.

Permohonan kena dibuat oleh yang empunya diri. Itu Syarat perjawatan.

Ustaz memohon untuk mengajar adalah kerana permintaan pihak sekolah. Pihak sekolah perlukan seorang ustaz yang mengajar kelas pagi di sekolah ini untuk mengajar fardu ain di sebelah petang. Sekaligus tugasnya nanti ialah menyelia perlaksanaan kelas fardu ain yang dijalankan oleh Yayasan Terengganu yang guru-gurunya bukan dari kalangan guru terlatih. Tangkap muat saja. Lagi pun, pada tahun 2007 ini, satu kelas lagi hendak dibuka menjadikan 4 kelas. Kelas untuk murid tahun 2, 3, 4 dan 5.

Tahun lepas juga sudah ada permintaan supaya ustaz mengajar, tapi ustaz menolak dengan alasan ustaz ingin rehat. Tambahan pula ustaz baru tahun pertama mengajar di sekolah itu. Hendak menolak lagi untuk tahun ini susah hendak berikan alasan. Sudah dua tahun bertugas di sekolah ini. Bahkan tahun ini adalah tahun ketiga. Tentu keadaan ustaz sudah serasi dengan ragam di sekolah ini.

"Sertakan juga surat sokongan Guru Besar dan nyatakan yang enta mengajar pagi di sekolah yang enta mohon" tambah pegawai yang menyerahkan borang kepada ustaz.

"Baru tak payah temuduga" sambung pegawai itu lagi.

"Ooo gitu"

"Kalau tak.. memang kena temuduga. Lulusan Mesir pun kena temuduga juga" lanjut pegawai.

"OK" jawab ustaz pendek. Ustaz menatap borang di tangannya. Mulut ustaz dimuncungkan sedikit, entah apa maknanya. Mungkin sedang fikirkan sesuatu.

Friday, January 05, 2007

Serangan "Geng Parang"




Advertise with kapalkorek.com


SETIU - "Geng Parang" mengganas lagi! Baru 4 hari 2007 menjengah, negeri ini sekali lagi digemparkan dengan dua kejadian terbaru sekumpulan perompak yang menggunakan topeng dan bersenjatakan parang di sini, awal pagi kelmarin dan semalam.

Saya bencikan unsur keganasan yang dipamirkan oleh "Geng Parang" ini.

Kalau saya dapat tangkap "Geng Parang" ini, saya nak kelar-kelar seluruh badan mereka termasuklah "anu"nya juga. Biar padan muka dia. Satu lagi saya nak potong habis cuping telinga kasi mereka pengajaran seumur hidup.

Dalam berita Sinar Harian bertarikh 5 Jan 2007 - Empat orang perompak bertopeng dan parang merompak rumah pasangan guru masing-masing 45 dan 46 tahun kira-kira jam 3.00 pagi ketika guru itu sedang nyenyak tidur. Kerugian guru itu kira-kira RM4000 yang melibatkan 2 utas rantai emas, cincin, jam dan wang tunai.

Rayuan

Bergegas ayah memandu ke PPD untuk membuat rayuan penempatan anak perempuannya. Anak-anak orang lain sudah mendaftarkan diri masing-masing. Anak ayah saja yang masih menunggu tawaran. Seminggu yang lalu ayah sudah pun ke PPD berjumpa dengan pegawai penempatan bahagian sekolah menengah.

"Ikutkan kelayakan memang dah layak" jelas pegawai yang ditemui ayah seminggu yang lalu. Anak ayah dapat 3A2B dalam UPSR.

"Mudah-mudah tuan dapat lah menolong untuk masukkan anak saya ke sekolah tu..." ayah berharap.

Harapan yang dihulurkan pegawai bahagian penempatan sekolah menengah tempoh hari menyuntik semangat buat ayah. Harapan untuk memasukkan anaknya ke sekolah pilihan ayah itu masih menebal macam misai Dato K.

Surat rayuan telah diserahkan kepada kerani yang berada di kaunter.

"Kena tunggu Encik, En Adan gi makang..." kata kerani dalam loghat Terengganu.

"Tak apa... saya tunggu"

Ayah menyandarkan belakang ke kerusi menunggu yang dibuat daripada rotan. Majalah lama di rak sebelah tempat duduk itu digapainya. Ayah menyelak majalah. Bukan dibaca pun. Fikiran ayah memikirkan bagaimana hendak memujuk pegawai penempatan itu nanti. Kalau boleh hari ini juga biar terus dapat keputusan untuk masuk ke sekolah pilihan ayah itu.

Jam sudah 3.30 petang. Lama la pulak... orang ni gi makan, ayah berkata dalam hati.

Bukan ayah seorang yang menunggu, ada orang lain juga. Ayah tidak bertanya pada mereka yang menunggu itu apa kah halnya mereka tercanguk di situ. Fikiran ayah berlegar dalam benak ayah sendiri sahaja. Dia orang punya hal lah, kata hati kecil ayah.

"Bos... ada hal nak minta tolong dengan bos ni..." sapa ayah sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman sebaik sahaja pegawai yang dinanti melangkah masuk melalui ruang mengunggu. Sengaja ayah guna stail begitu supaya nampak lebih mesra. Itu stail orang Terengganu berbahasa dengan orang yang pangkat besar.

"Boleh... masuk lah"

Ayah mengekori pegawai itu macam orang salah. Langkah ayah sungguh sopan menuju bilik pegawai.

Setelah perbincangan selesai ayah meninggalkan bilik pegawai dengan senyuman. Langkah ayah kelihatan bergaya macam jalak ngurat betina. Ayah angkat tangan dan sedikit melambai kepada beberapa kerani yang sibuk di meja masing-masing dalam ruang pejabat berdinding kaca.

Ayah senang hati. Usaha ayah membuahkan hasil. Hajat ayah tercapai. Hasrat ayah untuk menempatkan anaknya ke sekolah terbaik pada pendapat ayah sudah terlaksana. Petang itu juga ayah membawa anak sulongnya mendaftarkan masuk ke SMK Pelong.

Tuesday, January 02, 2007

Melangkah Ke Alam Persekolahan

Uniform sekolah ibu sudah gosok siap-siap. Seperti sebelumnya juga, tiga set uniform yang ibu gosokkan. Dua anak dan satu lagi untuk sibapa. Anak sekolah ada dua. Along sudah naik tingkatan tahun ini. Tinggal di asrama. Tahun ini juga tambah satu lagi anak sekolah. Masuk pra-sekolah. Jumlahnya kekal dua yang kena urus hari-hari makan pakainya.

"Adik kena tidur awal, esok nak gi sekolah"

Adik faham apa yang ibu cakapkan. Memang sudah lama adik berangan untuk ke sekolah macam abang dan kakak. Beg sekolah adik sudah hampir setahun dibeli. Pensil warna pun sudah banyak kotak yang dikerjakan adik. Abang dan kakak beli, untuk adik mesti ada juga satu. Banyak sudah kertas dan lukisan yang adik warnakan. Pandai pun.

Tanpa banyak bicara lagi adik masuk bilik. Adik tahu dia kena bangun awal. Adik sudah enam tahun. Esok kena mandi awal pagi, pakai baju sekolah yang baru dibeli di pasar malam.

Ibu beli kainnya. Ibu jahit sendiri baju adik itu. Pun kena jahit tangan sahaja sebab mesin tiba-tiba meragam. Tidak boleh digunakan. Hendak dihantar ke bengkel, duit pula yang tidak berapa cukup. Banyak sudah habis beli keperluan persekolahan.

Tangan ibu terus lancar menggosok baju dan seluar. Lepas sehelai siap, digantungnya baju itu elok-elok. Jangan sampai berkedut lagi. Ibu urus dengan teliti.

Fikiran ibu terkenang Along di asrama. Siang tadi sudah dihantar ke asrama. Rindu. Barangkali along pun rindukan ibu malam-malam begini.

"Ya Allah, selamatkanlah anak-anakku" terdetik di hati ibu yang sendu.

Monday, January 01, 2007

Meminang Untuk Adik Ipar

Pasir Mas, 1 Jan 2007 - Sabri menghantar rombongan yang disertai oleh ayah dan emak serta adik beradik. Turut serta juga ialah sebahagian besar bapa saudara ke rumah bakal tunangnya kira-kira 5 km dari pusat bandar Pasir Mas.

Pukul 3.00pm - rombongan bertolak dari rumah di Kg Jerus Pasir Putih. Isk! dua-dua main "Pasir" ni. Satu Pasir Putih dan yang satu lagi Pasir Mas. Mengikut rancangan awal, pukul 2.00 ptg.

Tiba di rumah bakal tunang, semua yang hadir dihidangkan makan tengahari. Maksudnya jamuan nasi putih. Memang kebiasaan orang Kelantan menjamu nasi untuk tetamunya, tanpa mengira waktu lagi. Siang malam pagi petang jamu nasi.

Proses peminangan dan rundingan kedua-dua pihak berjalan lancar dan keputusan telah disepakati. Kedua-dua pihak berpuas hati dengan perundingan ini. Upacara menyarung cincin pertunangan disempurnakan oleh emak pihak lelaki kepada bakal menantunya.

Satu hal yang hendak disebut di sini, Sabri (lelaki yang meminang) itu tidak tunjuk muka dalam majlis, malu agaknya. Tak dapat makan la. Ke mana dia menyorok?


---------

Penggantungan Saddam Husin

Semoga rohnya dicucuri rahmat. Tanggal 31 Dis 2006 - Hari Raya Qurban. Peristiwa yang tidak dapat dilupa oleh umat Islam seluruh dunia ialah Penggantungan Saddam Hussien, Presiden Iraq yang ditangkap oleh AS. Kesalahannya ialah melakukan jenayah perang. Masyarakat dunia akur dengan hukuman itu, cuma masa perlaksanaan hukuman itu sahaja yang tidak sesuai kerana dijalankan pada pagi hari raya kurban. Pihak yang melaksanakan hukuman itu sepatutnya menghormati sambutan Hari Raya Kurban yang disambut seluruh dunia.

Saddam Sudah Mati Demonstrasi Di Sana Sini

Apa maknanya? Mereka yang berdemonstrasi itu pula, sebenarnya apakah yang dikehendaki oleh mereka? Mustahil orang mati boleh hidup balik.

---------

SELAMAT DATANG 2007
Terima kasih Tuhan
Menambah usiaku
Bimbinglah daku agar dapat mentaati perintah-Mu