Wednesday, March 07, 2007

Sakit

Kebetulan pula selepas Pakteh terserampak deretan babi itu, jatuh demam. Seram sejuk. Hari kedua Pakteh demam bukan main lagi. Sakit-sakit seluruh badan. Bengkak celah kelengkang. Pakteh tidak cerita kepada sesiapa tentang bengkak urat itu. Bengkak pada dua tempat bawah lipatan lutut dan paha, dekat kelangkang. Emak kata letakkan air liur basi di tempat sakit dan gentel-gentel. Pakteh belum buat lagi.

5 Mac - dalam keadaan demam Pakteh ke Klinik Sg Tong. Pasang signal empat masa pergi dan balik, kerana Pakteh rasa keseimbangan tumpuan kurang stabil. Ada 4 jenis ubat yang diberikan oleh doktor. Pakteh diberi cuti dua hari. Pakteh yakin demam ini tiada kena mengena dengan badi babi.

Pakteh risau dengan murid-murid di sekolah, kerana pakteh difahamkan ramai guru ada tugasan luar. Guru-guru tempat pakteh bertugas hanya lapan orang termasuk Guru Besar. Minggu ini ada ujian OTI.

6 Mac - Bengkak kelenjar didua tempat belum pulih bahkan semakin menjadi. Malam tadi demamnya sudah kebah, tapi hari ini demam lagi. Seluruh badan terasa sakit dan menggigil. Berlawan ubat agaknya.

8.00 malam selepas berfikir panjang memandangkan esok (7 Mac) ada tugas di SMK Saujana, Pakteh ambil keputusan pergi ke klinik swasta untuk mendapatkan suntikan semoga sakit ini berkurangan dan dapat bertugas keesokannya sebagai pengacara majlis di sana. Sepanjang perjalanan Pakteh berdoa dan berzikir. Mohon selamat sampai di klinik yang jaraknya 25km itu. Minda terasa terlalu lemah. Apa yang terlintas sahaja yang Pakteh dapat baca iaitu:

Dengan linangan air mata Pakteh berkata "Ya Allah... kalaulah ada sedikit kebaikan yang aku telah lakukan kepada ibuku, engkau sembuhkanlah sakit aku ini"

Itu doa. Bukan terjemahan kepada zikir yang Pakteh sebut di atas. Kalau pengunjung terbaca blog Pakteh ini, bacalah sebaris Bismillah dengan ikhlas agar Pakteh segera pulih.

7 Mac - semakin parah. Hendak berjalan pun sudah tidak boleh. Doktor malam tadi kata, 'badam'. Dia punya stail macam kayap.

Sunday, March 04, 2007

Babi

Satu. Melintas di hadapan. Melintas di laluan Pakteh yang hanya bermotor kapcai. Secara spontan Pakteh memijak brek untuk memperlahankan kelajuan. Zup! satu lagi terkedek-kedek melintas. Zup! brush! satu lagi. Kali ini Pakteh sudah hampir benar dengan trak laluannya. Betul-betul di hadapan. Kurang dari satu meter. Babi yang melintas. Ada orang sebut khinzir. Menyirap seketika darah Pakteh. Kali ini Pakteh terselamat dari bencana yang dibawa oleh babi hutan ini. Pakteh tahu cara babi ini. Memang dia lari laju masa melintas dan mereka tidak akan brek serta tidak akan membelok ke mana-mana. Seekor melintas, mesti masih ada lagi anak beranaknya di belakang yang akan menyusulBiasanya babi-babi ini berungga secara berjujut-jujut. Tegak ke hadapan. Kalau seekor melintas, mesti masih ada lagi anak beranaknya di belakang yang akan menyusul. Betul lah peribahasa 'membabi buta' yang selalu digunakan.

Dua hari yang lalu seorang penunggang motorsikal telah terlanggar babi di kampung sebelah. Babi yang dilanggar itu mati di tempat kejadian. Penunggang motor masuk ICU. Sampai hari ini pun belum keluar. Pakteh tidak pergi menziarahi mangsa yang masuk ICU. Bagi Pakteh biar dia rasa. Menunggang motor tidak tahu hendak slow walaupun di kawasan kampung. Semalam pula seekor babi telah merempuh salah seorang ahli pengakap yang sedang membuat aktiviti junggle traking di hutan sekitar kampung ini. Dapat dua jahitan. Bengung betul babi-babi ini. Sudah lah merosakkan tanaman penduduk kampung. Bila lagi Cina hendak datang berburu babi-babi ini. Pakteh hanya mampu berdecit-decit. Geleng-geleng kepala.

PS: Berungga = berlari. Berjujut-jujut = berderet-deret

Saturday, March 03, 2007

Suara Pekerja

"Mana boleh jadi, gaji kami sama saja... dia tak buat kerja" adu Nik pada penyelia.

Penyelia mengetap bibir. Muka penyelia yang berminyak itu berkerut menampakkan usianya yang semakin meningkat. Tuan penyelia sudah perasan permasalahan anak buah yang suka curi tulang. Perbandingan dibuat dengan salah seorang pekerja baru yang begitu rajin. Din. Begitu ringan sikunya. Semua kawasan yang ditetapkan telah dikerjakannya yang dibantu sedikit-sedikit oleh Matyi. Padang. Lereng bukit. Tepi pagar. Dalam longkang. Semuanya memuaskan. Penyelia.

"Dia potong rumput macam ayam memupur" kata Paksu Ali pada suatu hari.

Kenyataan itupun penyelia juga sudah arif benar. Rumput yang dipotongnya tidak bersih. Tiada seni. Diputar sini sikit. Sana sikit. Tidak dihabiskan setempat-setempat. Memang banyak hal yang penyelia tidak puas hati. Matyi yang suka lepak dengan membaca surat khabar sampai sejam dua pun penyelia tahu. Penyelia nampak. Kadang-kadang penyelia sengaja lalu kawasan Matyi lepak. Buat-buat batuk. Matyi buat lembu kenyang saja. Penyelia juga sudah acap kali terserempat dengan Matyi yang lepak dalam kereta buruk di tepi padang.

Penyelia terfikir hendak pecat memberhentikan Matyi. Cuma. Bila dikenang. Dia orang lama. Penyelia fikir dua kali. Tiga kali. Sedangkan penyelia sendiri baru satu tahun ditugaskan sebagai penyelia pekerja swasta khidmat cucian dan kebersihan. Nanti orang beranggapan, penyelia tidak sedar diri. Baru setahun kerja sudah hendak pecat orang itu orang ini. Penyelia buat laporan pada bos. Orang atas. Orang atas kata "pandai-pandai awak lah nak nasihatkan dia"

"Apa kahe ni" Penyelia kata. Kemudian.

Friday, March 02, 2007

Virus Komputer

Cuti hujung minggu pakteh tidak ke mana-mana. Peluang ini digunakan untuk meninjau perkembangan kawan-kawan di blog. Dalam pelayaran maya ini antara sengaja dengan tidak pakteh terdampar di blog Niezam Phg yang menulis tentang virus komputer terbaru. Rasa risau juga di hati walaupun sebelum ini saya tidak mudah terpedaya dengan fail-fail tertentu yang dihantar menerusi email. Biasanya pakteh hanya download fail dari orang yang dikenali sahaja.