Friday, December 29, 2006

Khatib Tamu

Zup! menyucuk kalbu ini mendengar kesilapan dalam khutbah sebentar tadi. Spontan berdecit dua kali mulut ini sambil menggelengkan kepala. Ini bukan yang pertama kali aku mengalaminya. Sudah banyak kali. Kesilapan yang dilakukan oleh khatib yang ini, sudah dua kali ikut perkiraanku. Sememangnya kesalahan kecil itu tidak mencacatkan khutbah sebab bukan rukun. Cuma sakit telinga jemaah yang memahami Bahasa Arab. Bagi yang tidak mengaji arab, dengar macam bagus saja. Sudah betul lah semua bacaannya itu.

Semenjak aku mendengar kesilapan itu, terlintas hendak menegur khatib ini. Akan tetapi apabila khutbah dan upacara solat jumaat selesai, perasaan yang terdetik di hati itu hanyut dibawa bayu yang sepoi-sepoi. Bukan aku melupakannya, cuma sabar dan tunggu waktu terbaik. Aku fikir juga resikonya apabila aku buat teguran nanti. Bolehkah diterimanya.

Malu kalau ada di kalangan jemaah yang juga seperti aku mengetahui Bahasa Arab yang menyedari kesilapan sebutan itu. Macam tidak tahu langsung Bahasa Arab si khatib ini.

Sepatutnya orang yang nak jadi khatib tahu lah sedikit sebanyak Bahasa Arab. Barulah baca tidak salah. Sekalipun tidak belajar arab, tenguklah betul-betul teks yang disediakan. Jangan hendak berlagak hebat, kerana berstatus ustaz dan haji lagi. Aku pernah lihat teks khutbah yang selalu dibacakan. Memang tulisannya lain dari apa yang disebut khatib barusan sebentar.

Ustaz dan Haji juga kena belajar. 'Ujub itu adalah "Syirik Khafi". Bahaya!Jangan berhenti menimba ilmu. Kalau sudah bergelar ustaz, tapi enggan menambahkan ilmu dalam bidang-bidang yang berkaitan dengan keustazan kita itu, dikhuatiri jadi 'ujub. 'Ujub itu adalah "Syirik Khafi". Bahaya!

Khatib tadi, bukan khatib tetap. Hanya khatib tamu sahaja. Kebetulan dia juga sebagai penyelia guru pelawat dan datang mengajar di masjid yang sama. Seminggu sekali datang berkuliah di masjid, selepas maghrib sampai Isyak. Aku selalu juga hadir mendengar kuliahnya.

Sungguhpun begitu, aku tidak sanggup membangkitkan isu kesilapan bacaannya itu. Bimbang lain pula tanggapan ustaz yang memberi kuliah dan disanjung oleh masyarakat tempatan. Sedangkan aku hanyalah insan kerdil yang tiada apa-apa jawatan. Siapalah aku hendak menegur ustaz 'muktabar'. Dia juga pernah mengaku yang dirinya "qari". Sekalipun aku sakit hati, aku pendamkan di lipatan sanubari.

Aku sedar, diam lebih baik dari buka mulut. Bercakap biar bertapis dua tiga lapis. Itu pun masih juga tersasul dan mengundang kemarahan orang. Luahan di dairi peribadi rasanya lebih baik.

Sunday, December 24, 2006

Simuka Plastik dan Bontot Tempayan

Memang muka plastik. Tiada tanda-tanda malu dengan perbuatan sumbang yang sudah zahir di khalayak. Banyak kali terserempak perbuatan sumbangnya itu. Kali yang terakhir ini betul-betul mencabar kewibawaan orang kampung. Tambahan pula yang terserempak itu Pengerusi JKK sendiri yang merangkap imam di kampung. Tiap-tiap bulan datang ambil ubat perancang, ingat ada laki.

Tindakan yang macam mana mahu diambil oleh orang kampung?. Memang kena buat sesuatu sebelum turun bala Tuhan ke atas seluruh penduduk kampung gara-gara kemungkaran yang dibiarkan. Pengerusi sudah buat laporan di Pejabat Agama, petang itu juga. Tinggal pihak Pejabat sahaja yang belum mahu bertindak. Prosedur apa lagi yang barangkali tidak kena. Itu yang membuatkan Pengerusi rasa tidak sedap hati.

Terfikir di benak Pengerusi, malas hendak campur lagi hal macam ini. Akan tetapi desakan orang ramai kena ambil kira juga. Tidak boleh mengalah dengan keadaan. Tidak boleh mengalah dengan suasana menghimpit. Pengerusi di pihak yang benar.

Kalau yang satu itu muka plastik, pasangan ajnabinya itu muka bontot tempayan. Juga tidak reti hendak insaf. Dicabarnya Pengerusi supaya buat laporan kepada pihak atasan. Sudahlah buat kerja haram. Cabar suruh laporkan pula. Memang muka bontot tempayan.

Dua hari yang lalu Pengerusi berdua dengan kawannya yang melihat sendiri kejadian sumbang antara bini orang dengan duda simuka bontot tempayan sedang beraksi di sebuah bangsal di ladang getah hujung kampung. Terperanjat pasangan itu. Dengan muka selamba sahaja mereka berhenti dan mengenakan pakaian masing-masing.

"Kacau daun la pulak" itu agaknya yang bertunjang di kepala hotak pasangan yang dirasuk syaitan itu apabila Pengerusi menegur perbuatan terkutuk mereka.

Prosedur menangkap pasangan maksiat ini payah rupanya. Bukan boleh tangkap begitu saja. Fikir Pengerusi apabila laporannya tidak mendapat tindakan segera pihak berkuasa agama. Tiada pegawai yang hendak tandatangan dokumen, kata kerani bertugas kepada Pengerusi yang datang buat laporan hari itu. Pengerusi jadi buntu fikirannya. Digaru-garu kepalanya yang berlapikkan kupiah putih itu. Dalam hati Pengerusi nekad. Apa cara pun, dia kena pastikan juga kedua-dua penzina ini diambil tindakan undang-undang. Kalau tidak maruahnya akan luluh. Kalau tidak, makin naik lah tocang mereka.

"His!" dengus Pengerusi sambil membalingkan ranting reput yang dipegangnya sejak tadi ke halaman. Tea "O" di depannya dihirup habis. Pengerusi berdiri membetulkan kain pelikatnya yang lusuh. Lembayung petang semakin menghampiri garisan penamat.

Thursday, December 21, 2006

Cegah Kanser Prostat

Kanser Prostat ini dikatakan pembunuh senyap kaum lelaki. Syarikat MayFirst dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia menjadikan Kempen Mencegah Kanser Prostat ini sebagai projek Fardu Kifayah tahun 2007. Mereka akan membuat rondaan seluruh negara untuk mendedahkan bahaya penyakit ini untuk menyedarkan rakyat Malaysia terutamanya kaum lelaki. Tulisan ini adalah merujuk kepada pamplet yang diedarkan dan saya menerimanya kerana saya menjadi ahli MayFirst. Saya panjangkan di blog ini kerana saya fikir perlu untuk pengetahuan bersama. Sila rujuk laman web syarikat untuk keterangan yang lebih jelas.

Apa Itu Prostat

Prostat ialah kelenjar sistem pembiakan lelaki. Saya kira DBI lebih arif untuk memperkatakan topik ini. Prostat menghasilkan sebahagian cecair seminal, yang membawa air mani dan sperma sewaktu lelaki mengalami ejakulasi. Kelenjar prostat terletak di antara rektum dan dasar pundi kencing. Ia merangkumi 30% tisu otot dan selainnya terdiri daripada tisu glandular.

Apakah Kanser Prostat?

Keadaan dimana terdapat pembesaran sel-sel prostat yang luar biasa. Tumor barah yang merbahaya yang mula tumbuh dalam kelenjar prostat. Sewaktu tumor membesar, ia mungkin merebak dari prostat sehingga ke nod limfa, dan juga pada bahagian yang jauh seperti tulang belakang, tulang rusuk atau bahagian tulang yang lain. Kanser prostat merupakan penyakit yang sangat serius dan boleh membawa maut kerana keupayaannya merebak ke bahagian badan yang lain apabila mencapai peringkat lanjut.

Gejala Kanser Prostat

Sekiranya penyakit ini dikesan pada peringkat awal, kebanyakan lelaki tidak akan mengalami sebarang gejala. Gejala bagi kanser prostat adalah:

  1. Terdapat darah dalam air kencing.

  2. Terasa sakit atau panas semasa membuang air kecil.

  3. Daya pengaliran air kecil yang lemah atau hilang kawalan terhadap pembuangan air kecil.

  4. Ejakulasi yang menyakitkan.

  5. Penurunan dari segi keinginan seksual.

  6. Kurang upaya dalam mengalami rangsangan seksual.

  7. Kesakitan pada bahagian belakang, pelvis (tulang pinggul), atau bahagian atas paha.

  8. Hilang selera makan.

  9. Kesakitan tulang yang berlanjutan.

Kesan Sampingan Kanser Prostat

Sebahagian lelaki mungkin mengalami satu atau lebih kesan sampingan Kanser prostat merupakan penyakit yang sangat serius dan boleh membawa maut berikut yang berpunca daripada rawatan kanser atau dari penyakit itu sendiri:

  1. Masalah pembuangan air kecil.

  2. Masalah usus.

  3. Masalah ereksi

  4. Ketidaksuburan (mandul)

Cara-Cara Mencegah Kanser Prostat

Kesan awal Kanser Prostat menyelamatkan nyawa anda, maka:

  1. Kerap melakukan pemeriksaan perubatan.

  2. Lebihkan pemakanan sayur-sayuran dan makanan yang mempunyai zat fiber yang tinggi.

  3. Kurangkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan lemaknya.

  4. Bersenam dan amalkan gaya hidup yang sihat.

Cabaran Lelaki

Kalau saya, cabaran utama ialah malu nak mengadap doktor nak serahkan "mahkota" kita untuk diperiksa. Sekiranya gejala-gejala yang diutarakan itu terdapat pada diri kita, sebaiknya dapatkan pertolongan doktor yang bertauliah. Jangan pergi mengadap tukang urut yang ramai di ibu kota. Pengalam saya, belum pernah mengadap tukang urut. Suatu hari saya dimaklumkan oleh seorang kenalan mengenai ubat yang khusus diformulakan untuk mengubati penyakit ini. Bila saya mencubanya, saya merasakan "kesihatan" saya bertambah baik dan kehidupan lelaki saya tidak murung lagi. Kini saya pastikan ubat itu ada bersama saya sepanjang masa.

Wednesday, December 20, 2006

PDF2EXE - Tukar Fail PDF Kepada EXE

Salam download lagi buat anda pengunjung yang dihormati. Saya sudah cuba software ini dan memang berhasil. Sebelum ini saya tercari-cari software seperti ini yang boleh membantu saya dalam menghasilkan ebook saya sendiri. Anda juga boleh. Sekali pun terjadi apa-apa, tanggung sendiri ya. Sila ke laman web pemiliknya. Ia adalah freeware untuk sesiapa pun jua. Saya cuma sampaikan saja di ruangan ini.


Mulai hari ini, Bagi saya, isi kandungan buku itu, mengancam ... boleh membuatkan mata saya terbeliak anda juga boleh buat ebook sendiri dengan menggunakan pdf2exe ini. Biasanya ebook yang mengandungi maklumat berharga dan diperlukan oleh orang ramai itu dijual dengan harga tertentu. Contohnya seperti salah satu ebook yang pernah saya sendiri membelinya suatu waktu dulu. Ops... buku itu saya tidak boleh berikan kepada anda. Kalau anda nak tenguk buku itu, pergi sendiri. Bagi saya, isi kandungan buku itu, mengancam... boleh membuatkan mata saya terbeliak.

Untuk membuat ebook sendiri menggunakan pdf2exe ini, Langkah 1 - Kena download dulu. Setelah install ke PC anda baru boleh dicuba. Untuk pengetahuan, saya mencuba di platform Win XP. Windows lain, saya tidak pasti. Anda cuba la sendiri. Lepas itu kalau rajin datanglah updated komen anda itu di sini. Sama-sama kita berkongsi maklumat.

Langkah 2 - Buka program pdf2exe -> open fail --> pilih fail PDF yang anda ada dalam HDD anda kemudian --> Save as kepada nama baru. Siap sudah fail exe anda sendiri. Semudah ABC kan.

Apa yang jadi masalah sikit, kalau anda belum ada PDF fail. Sebenarnya untuk buat PDF fail juga masalah besar bagi mereka yang tidak tahu caranya. Paling senang, untuk bina fail pdf ialah dengan menggunakan Adobe Acrobat Reader 6. Boleh beli CD di kedai komputer. Hendak yang ori atau local, terpulang pada anda. Resikonya tanggung sendiri... la la la. Saya tidak guna Adobe Acrobat Reader 6, tapi saya guna tool lain untuk wujudkan pdf fail. Tool apa tu... saya akan ceritakan dalam entri akan datang, Insya Allah.

Tuesday, December 19, 2006

Kata Pakteh Mengenai Isu Buku Kerja

Siaran Berita TV3 17 Dis mengenai isu Buku Kerja di Sekolah Kebangsaan mencuri perhatian saya. Apa yang ditulis di sini adalah pandangan peribadi, bukan mewakili mana-mana pihak sama ada pihak sekolah, KPM, mahupun mana-mana jabatan. Saya hanya ingin mengajak anda berbincang dan sekadar berkongsi pandangan. Jari sepuluh disusun sekiranya ada pihak yang tidak suka dengan pandangan saya ini, sesuai dengan kewujudan blog sebagai tempat menulis.

Saya menyokong penggunaan buku kerja terutamanya murid tahap 2 iaitu murid di Sekolah Kebangsaan tahun 4 hingga 6. Ibu bapa yang berpendapat ianya terlalu mahal, bagi saya tidak lah mahal mana pun. Beli play-station untuk anak mereka lagi mahal. Alasannya ialah kita yakni guru dan ibu bapa malah murid juga dapat menyemak dengan mudah dan cepat yang manakah topik yang sudah diajar atau topik yang perlu ditambah latihan bagi meningkatkan kefahaman murid.

Pengalaman saya mengajar di Sekolah Menengah selama 12 tahun dan baru 2 tahun di Sekolah Rendah memutuskan bahawa latihan pengukuhan yang dibuat dalam buku rampaian (buku tulis) murid kurang berkesan dan banyak masalah. Sekolah Menengah atau Sekolah Rendah, sama-sama perlu buku kerja ini. Ragam murid juga lebih kurang sama sahaja. Kalau berbeza sikit, bila murid di tahap Menengah Atas, iaitu SPM dan STPM. Antaranya:

  1. Masa murid terbuang kerana menyalin soalan. Di sekolah rendah sangat ketara masalah ini. Dengan buku kerja, murid tidak perlu salin lagi. Isi sahaja jawapan di ruang yang disediakan.

  2. Murid tidak siapkan seperti sepatutnya. Tulis lebih kurang sehingga tidak mencapai objektif sesuatu latihan itu disuruh buat.

  3. Bagi murid yang tidak datang kelas (ponteng sekolah) tidak dapat membuat latihan atau kerja rumah. Kalau ada buku kerja, tinggal maklumkan mukasurat sahaja.

Penggunaan Buku kerja boleh mengatasi masalah di atas. Murid zaman sekarang, hendak dirotan tidak boleh. Bapa murid marah dan ada yang sampai menyerang guru dan melibatkan polis serta mahkamah pun ada. Bila buku kerja ada, guru matapelajaran atau guru penyelia boleh semak dan memberi arahan lanjut mana-mana bab yang belum lengkap atau belum ditanda (belum diperiksa atau belum disemak).

Ibu bapa yang berpendapat ianya terlalu mahal, bagi saya tidak lah mahal mana pun. Beli play-station untuk anak mereka lagi mahal. Ada yang kata cikgu berniaga dan dapat komisyen, jawapan saya.. komisennya tidak besar mana pun. Gaji cikgu dah besar. RM2 ribu senang-senang saja la, bukan nak menyombong diri cuma nak beritahu jer.

Sikap murid zaman sekarang ini pula, macam anak burung. Kena disuap setiap masa. Maka cikgu cari jalan yang lebih mudah dan membantu murid dengan penggunaan buku kerja. Tujuannya supaya anak didik pandai. Maka yang bijak itu, anak tuan-tuan juga. Kalau ibu bapa rasa teruk sangat nak beli buku kerja itu, ya tidak perlu lah gegak gempita marah-marah. Anak kita kurang cerdik pun, tidak mengapa lah. Terima lah seadanya. Cikgu boleh buat kerja macam biasa, ajar macam biasa. Anak murid tidak pandai mana pun tidak mengapa. Gaji jalan macam biasa. Kua kua kua...

Kepada para ibu bapa, saya nak maklumkan bahawa Cikgu di sekolah itu lebih celik untuk memandaikan anak-anak kita. Kita sepatutnya beri bantuan serta sokongan kepada guru, bukan mengkondemkan mereka. Satu hal yang tidak suka kita dengar (sebab saya pun jadi bapa & ada anak) ialah Buku Kerja yang dibeli itu tidak digunakan, atau tidak diselia oleh guru. Murid shok sendiri menyiapkannya di rumah. Takkan bapa pula yang nak semak buku kerja anak-anak.

Akhir-akhir ini isu guru sangat sensitif. Banyak pihak yang kurang selesa dengan tugas dan masa rehat guru. Banyak komplen tentang masa cuti dan gaji guru. Bagi saya, terserahlah kepada mereka. Kalau sudah rasa iri sangat, ya silakan awak jadi cikgu la pula. Saya berdoa agar Allah beri kekuatan kepada saya untuk menjalankan tugas dengan baik dan dedikasi.

Saturday, December 16, 2006

Istimewa Untuk Tetamu Dairi Pakteh

Saya akan kumpulkan bahan-bahan yang mungkin anda cari dan free sebagai ole-ole apabila berkunjung di Dairi Pakteh ini.

Doa Pengasih

Friday, December 15, 2006

Pasang CCTV Di Surau

Kota Bharu, Langkah Majlis Perbandaran Kota Bharu memasang kamera CCTV di ruang solat wanita Surau Siti Khadijah seperti suatu yang "kelakar" pada kali pertama kita terbaca berita mengenainya yang disiarkan dalam Sinar Harian, salah satu akhbar edisi khas negeri-negeri kawasan Pantai Timur.

Tindakan MPKB ini dibuat berpunca dari kerapnya berlaku kes kecurian di situ. Melibatkan barang-barang pengunjung yang singgah untuk menunaikan solat dan juga sedikit sebanyak kelengkapan atau perabut surau yang letaknya bersebelahan pasar besar di Pusat Bandar Kota Bharu.

Sikap manusia yang mementingkan diri sendiri ini sanggup melakukan kerja yang tidak bermoral bahkan berdosa.

Bukan itu sahaja, pernah terjadi di salah sebuah masjid di negeri Terengganu, pasangan kekasih mengadakan pertemuan di ruang solat wanita di masjid berkenaan. Kes ini sudah lama berlaku, dalam 3-4 tahun yang lalu dan tersiar di media cetak tempatan. Memalukan!.

Diharapkan pegawai yang ditugas meronda kawasan-kawasan berkenaan lebih peka dan mengambil tindakan sewajarnya. Kita sokong tindakan tegas mereka itu.

Gagal Login Blogspot Versi Beta

Apa sudah jadi dengan blog saya pun tak tahu. Masalah ini muncul hari ini 15 Dis 2006. Saya masih mencuba untuk log masuk ke dashboard sehingga saya boleh buat editing dan posting. Hingga kini belum berjaya dan saya buat entri menerusi email sahaja. Guna pintu belakang gitu. Ini gara-gara versi beta yang mungkin ada sesuatu yang tidak kena dimana-mana. Oleh itu kepada Dairi Anak Nelayan yang sepatutnya saya sudah letakkan link di bahagian blogger di blog Dairi Pakteh ini, harap bersabar. Saya sedang mencuba.

Sebelum ini tiada masalah seperti ini. Saya guna blogspot semenjak 2004 lagi. Tidak tahu pula, apa sudah jadi dengan member-member blogger yang lain. Apakah mereka juga menghadapi masalah seperti saya atau cuma saya seorang sahaja?. Nasib, nasib... Hari ini, saya OK. Mood... bengang!


Wednesday, December 13, 2006

Surau Kg Langkap Perlu Sumbangan

Sehebat mana pun manusia perlu ada suatu tempat penyudah kehidupan ini yang bagaikan putaran roda. Sejauh mana pun manusia berlayar tempat kembalinya ialah Allah SWT. Tidak kiralah apa jua pegangan hidupnya. Bezanya mereka yang hidupnya sebagai hamba yang taat, Allah SWT tempatkan di syurga sedangkan mereka yang ingkar lingkar menerima pembalasan di neraka.

klik untuk lihat lebih jelas
Surau Kg Langkap diusahakan secara gotong royong oleh penduduk tempatan

Masjid dan surau tidak dapat dipisahkan dari kehidupan mukmin yang bertakwa. Di situlah dapat mereka mengabdikan diri pagi dan petang selagi usia masih ada.

Surau dibina hasil sumbangan orang ramai

Secara ringkasnya surau Kg Langkap (gambar) yang letaknya kira-kira 24km dari Bandar Permaisuri ini mula dibina secara giat awal tahun 2006 yang lalu di atas tapak yang diwakafkan oleh seorang dermawan bernama Hj Abd Ghani Ahmad. Ruang sembahyangnya boleh menampung 500 orang jamaah. Perkembangannya agar perlahan lantaran kekurangan modal.

Hingga kini sudah siap pembinaannya sekitar 80% hasil gotong royong beberapa tukang yang berkebolehan dan orang ramai juga. Pembiayaannya adalah melalui sumbangan ikhlas orang ramai yang bercita-cita untuk mendirikan rumah Allah sebagai sumbangan bakti untuk agama serta bekalan di akhirat. Ada juga beberapa usahawan yang menghulurkan bantuan kewangan dalam jumlah yang besar sehingga mencapai ribuan ringgit. Semuanya kerana Allah.

Lantai simen beralas tikar

Pada bulan Ramadhan yang lalu penduduk setempat mula menunaikan solat terawih dan solat fardu berjamaah di surau ini hingga kini. Walaupun bahagian lantainya masih simen kasar beralaskan tikar plastik yang akan diangkat ke sana ke mari para jemaah istiqamah juga datang berjamaah lebih-lebih lagi waktu Maghrib dan Isyak.

Bahagian dalam juga masih dalam pembinaan. Sebab itu belum boleh dipasangkan karpet atau tikar getah. Cadangan pihak lembaga pengarah projek surau ini, lantai surau akan dipasang mozek sekiranya kewangan mencukupi.

Kelengkapan asas

Sehingga kini elektrik belum dimasukkan. Pendawaian sedang dijalankan. Tenaga letrik sementara yang dihulurkan oleh penduduk yang bersebelahan surau itu boleh digunakan untuk 2 lampu dan 2 kipas meja bagi kemudahan para jamaah waktu malam. Begitulah juga dengan bekalan air. Hanya 1 kepala paip juga disalurkan oleh jiran tersebut. Kelengkapan bilik air dan setor sedang didirikan.

"Segala-galanya akan lebih cepat sekiranya kewangan mencukupi" kata En Mokhtar selaku pengarah projek yang musim ini berada di tanah suci kerana mengerjakan ibadat haji.

"Pak Mokhtar doakanlah di sana nanti supaya surau kita dapat dibina dengan sempurna" kata salah seorang para jamaah, yang diiakan oleh makmum yang lain.

Sekiranya berkemampuan, bahagian hadapan surau juga perlu di simen atau lebih elok ditarkan untuk keselesaan para jamaah. Kawasan halaman surau akan becak apabila hujan dan tanah merah itu sedikit-sedikit akan dihakisi.

Derma masih dibuka

Apa yang sudah dilakukan oleh lembaga pengarah projek surau ini ialah mengadakan siri "minum teh" bertujuan untuk mengutip derma bagi tabung projek surau. Tahun ini sudah 3 kali dilakukan, dan kita boleh melihat natijahnya seperti tersergam di depan mata. Penderma berpuas hati dan memanjat syukur.

Pihak kariah terutamanya Lembaga Pengarah projek surau mengalu-alukan derma dan sumbangan orang ramai dalam apa bentuk sekalipun. Penyumbang boleh melawat ke tapak binaan dan bertanya kepada sukarelawan yang menyiapkan surau itu apakah bentuk sumbangan dan berapa kosnya. Contohnya bagi sponsor mozek lantai ruang solat berapa kosnya. Ada juga yang datang menyumbangkan semua bumbung mengikut keluasan surau itu.

Walaubagaimanapun, bagi penyumbang (anda) yang dalam jumlah runcitan, dipermudahkan dengan sumbangan terus menerusi akaun e-gold pakteh nombor 3058161 http://3058161.e-gold.com/ dan pada ruangan Memo catatkan "Sumbangan Surau Langkap" untuk memudahkan pakteh mengenalpasti sumbangan anda itu. Tahap pelancaran ini, pakteh tetapkan tempuh sumbangan boleh dihulurkan mulai sekarang hingga tarikh tutupnya pada 31 Dis 2006. Lain-lain pengumuman akan diputuskan kemudian di blog ini.

Rujukan Penting

Akaun e-gold : 3058161 http://3058161.e-gold.com/

Memo: Sumbangan Surau Langkap

Email: paktehgold@gmail.com

Telefon: 60137300520 (Telefon Pakteh hanya untuk SMS)

Tarikh Tutup: 31 Dis 2006

Tuesday, December 12, 2006

Awang War

Baru tingkatan dua. Tahun depan naik tingkatan tiga. Empat belas tahun umur Anuar. Mula-mula gila hendak pakai handphone. Sudah dapat handphone, mengamuk hendak beli motor pula. Motor sudah beli. Anak tunggal yang dimanjakan emaknya. Bapanya berpisah dengan emaknya semasa Anuar masih dalam kandungan. Emaknya betul-betul menyayangi anak tunggalnya itu. Nama manjanya pula Awang War.

"Tak boleh berkasar dengan anak, nanti dia lari" kata emak bila ditegur supaya jangan diikutkan sangat kehendak anak yang macam-macam.

Adik beradik emak yang lain selalu menasihati. Bapa saudara Anuar juga. Sebabnya emak bukan orang berada. Kerja menoreh getah tidak sampai 200 pokok dan dapat bantuan Kebajikan Masyarakat RM150 sebulan. Anuar minta beli macam-macam, semua diturutnya. Alasannya kena ikut, takut anak lari.


"Anak-anak perlu dididik menjadi
seorang yang bertanggungjawab. Orang tua hendaklah memastikan siapa kawan-kawan
anak supaya tidak menyesal kemudian hari. Disiplin dalam mendidik mereka supaya patuh kepada orang tua"


Hari-hari emak berbasikal pergi pasar beli lauk segar untuk anak kesayangan. Motor Anuar ada, tidak disuruhnya ke pasar. Ayam separuh, sekali makan saja mereka dua beranak. Itu pun emak makan tulang-tulang dan batang tengkuk sahaja.

Anuar kerjanya meronda naik motor. Pagi petang siang malam. Pukul lapan pagi sudah keluar. Balik rumah sekejap-sekejap. Makan dan mandi. Badan besar macam Giant dalam cerita Doremon. Menyampah betul bapa saudara sebelah rumah melihatnya.

Monday, December 11, 2006

Ayam Kampung

Bagi penggemar ayam kampung, kecur liurnya hanya dengan mendengar namanya saja. Ramai juga yang tidak menggemarinya. Mungkin kerana cara hidup ayam-ayam ini yang betul-betul kampung. Dilepas bebas dan makan apa sahaja yang dijumpainya. Dalam pada itu pun, ada yang tidak makan ayam bandar, sebab kata mereka ayam bandar atau lebih dikenali ayam daging itu adalah ayam kena inject. Ada juga ayam kampung yang dibela secara komersial di dalam reban khas.

Masyarakat Cina hanya menyukai ayam dara yang belum bertelur. Sekiranya yang jantan pun maka dipilih yang sebaya itu juga. Agaknya daging ayam muda ini lebih lembut berbanding ayam tua. Warna bulu ayam juga menjadi standard sama ada ayam itu bagus atau tidak. Biasanya yang berbulu tidak hitam legam itu lebih mendapat tempat.

Masyarakat desa pernah juga menggunakan ayam kampung yang berbulu putih untuk tujuan perubatan. Kononnya penyakit tertentu boleh dipindahkan kepada ayam yang ditetapkan. Ini dilakukan oleh dukun. Ayam itu ada juga yang disembelih tetapi dagingnya bukan untuk dimakan, sebaliknya dipersembahkan kepada jembalang dengan cara diletakkan di tempat tertentu atau dihanyutkan ke sungai.

Sementara itu, masyarakat petani di luar bandar menggunakan tahi ayam sebagai baja asli yang popular untuk tanaman sayur-sayuran seperti kacang, lada dan sebagainya. Ada yang berpendapat, penggunaan tahi ayam sebagai baja untuk pokok lada dapat menghasilkan buah lada yang lebih pedas dan berkualiti.

Nota:
Ada satu perkara lagi, tahi ayam mengeram... pergh! busuk tu... ha ha ha.

Sunday, December 10, 2006

Cek celah kain

Ekoran hujan beginilah maka lipan ini keluar dari tempat persembunyiannya dan merayap masuk rumah. Eeee... memang geli. Warnanya saja sudah cukup. Orang rumah mengetuknya dengan tukul, nasib baik tak pecah mozek. Pecah kepala lipan saja.


Inilah makhluk yang paling saya geli


Lipan seperti ini banyak terjadi memasuki rumah terutamanya rumah yang jenis rendah atas tanah. Apabila anda lama meninggalkan rumah, seperti balik kampung dan sebagainya... apabila memasuki rumah tolong cek di tempat-tempat yang munasabah. Cek di bawah lipatan kain, bawah kotak, atau apa-apa benda yang mungkin ia bersembunyi di situ. Beringat sebelum kena. Mungkin tak lah bawa mati kalau digigit lipan, tapi boleh tahan juga sakitnya kot. Saya belum kena.

Noreh


Bulan Disember memang masyarakat kampung yang kerjanya sebagai penoreh getah sudah maklum benar yang hujan akan turun serta membataskan kerja-kerja menoreh. Pertengahan bulan Disember ini, kalau berdasarkan tahun lepas, air sungai sudah melimpahi tebing dan sudah ada yang terpaksa pindah kerana ditenggelami banjir. Tahun 2006 ini belum lagi, cuma hujan sahaja sesekali lebat. Mungkin juga ekoran taufan yang berlaku di kawasan Asia Tenggara ini.


Masa boleh menoreh dan harga getah mahal, pendapatan penoreh getah ini sangat lumaian. Ada yang beli kereta buat ulang alik pergi kebun. Kalau di kampung saya setengah daripada setengahnya cakap besar pula tu. Memang betul lumaian. Setakat gaji cikgu RM2 ribu tu, tak dipandangnya. Banyak lagi duit mereka. Ha.. kalau dah hujan, baru tak terkata lah mereka. Dengar khabar, harga pasaran getah juga sudah mula turun balik.

Saturday, December 09, 2006

Terkejut beruk

Langkap, 9 Dis - Hampir-hampir terlanggar sekumpulan remaja yang berjalan dalam kegelapan malam. Motor Pakteh bukannya berlampu. Guna lampu tangan saja. Kebetulan masa itu, ada lampu kereta dari arah bertentangan menyorotkan cahayanya menjadikan pandangan ini begitu silau.

Budak itu yang sememangnya nampak lampu motor menuju ke arahnya sepatutnya mengelak ke tepi. Ini tidak, buat selamba saja. Kalau kena langgar baru padan muka.

"Jalan bawa lampu la bodoh" sepontan terpacul dari mulut Pakteh kerana terperanjat apabila sudah dekat benar nak terlanggar mereka.

Ha, kan dah dapat sebiji. Agaknya mereka ini sedang menuju ke tempat pertunjukan gajah yang sedang buat persembahan di padang belia. Minta-minta la hujan. Kasi lebat sikit. Ha ha ha, baru padan muka dia.

Psss: Baru keluar dari sembahyang Isyak, 1 posting guna sms sahaja. Jumpa lagi...

Selamat Pengantin Baru

Mohd Dagang b Kadir
Selamat diijab kabul pada 26 Okt 2006, Berek 12.

Pertunjukan gajah?

Langkap, 9 Dis - Kumpulan artis yang membuat pertunjukan gajah jinak dari Thailand mengadakan pertunjukan di Padang Belia. Baru beberapa bulan pertunjukan yang sama diadakan di kampung bersebelahan. Penontonnya tentulah orang itu juga, bukan ada orang lain pun.

Cuaca di Pantai Timur yang dalam sehari dua ini hujan, maka bayangkan saja macam mana rupa padang bola bila dilanyak gajah-gajah itu. Pihak JKK yang menganjurnya mungkin sudah fikir perkara ini. Dapat duit tabung, kira OK lah!

Pasar Tani Bdr Permaisuri

Bdr Permaisuri 9 Dis - Kita sekeluarga ke Pasar Tani di Bdr Permaisuri, kira-kira 30km dari rumah. Pasar itu hanya dibuka setiap sabtu. Punya la ramai orang. Maklumlah musim cuti sekolah. Lagipun sekarang ini, sabtu adalah hari tidak bekerja. Pejabat tutup. Maka itu sebabnya orang memenuhi pasar.

Beli sedikit keperluan persekolahan anak-anak. Belum beli semua kelengkapan pun, tunggu gaji nanti lah baru dilengkapkan mana-mana yang kurang. Tahun 2007 ini, 3 anak bersekolah. Seorang masuk tingkatan 1. Besar juga modalnya.

11.30am - Balik dari Bdr Permaisuri (di panggil juga Kg Buluh), singgah minum di Warung Tayek. Belek akhbar Sinar Harian. Sekarang sudah 70 sen. Mula-mula terbit dulu (Ogos 2006) kalau tak silap, dengan harga 50 sen sahaja. Baru berapa bulan dah naik harga. Pakteh selaku pengguna, memang la tidak setuju dengan kenaikan harga itu.

Friday, December 08, 2006

Bawang ooo bawang

Tidak tahu macam mana Pakteh boleh melekat dengan Bawang Merah Bawang Putih yang ditayangkan di TV3 itu. Isteri dan anak-anak yang tenguk. Pakteh tenguklah juga bila ada depan mata. Akhir-akhir ini timbul minat dan ternanti-nanti siarannya.

Seperti cerita klasik dalam cerita dongeng dan Filem Klasik Melayu juga hanya 3 ada watak penting iaitu Bawang Merah, Bawang Putih dan Ibu Tiri. Mereka ini watak besar dalam drama ini. Watak-watak lain sekalipun muncul sepanjang cerita, contohnya watak puteri cahaya itu hanyalah sebagai pelengkap.

Setiap kali menonton, jiwa Pakteh jadi sakit. Dalam dada rasa membengkak dan darah terasa bergelodak. Geram, simpati, menyampah dan berbagai perasaan bergaul antara satu sama lain. Rasa macam tidak mahu tenguk lagi untuk episod yang mendatang. Akan tetapi bila tiba waktu siarannya, cis! tenguk juga. Hantu apa yang memanggil Pakteh untuk menontonnya lagi. Walaupun benci.

Benci apa?

Ternyata Pakteh benci pada skripnya yang suka mempermainkan perasaan penonton. Skrip cerita yang langsung tidak menyokong unsur kebaikan dalam ceritanya. Skripnya hanya berpihak kepada unsur kejahatan iaitu Bawang Merah dan ibunya. Itulah yang menimbulkan rasa benci dan meluat.

Kewujudan watak Andree sebagai pengacara atau peguam langsung tidak seperti peguam yang sepatutnya. Begitu juga watak peguam sebelum Andree. Juga tidak menonjolkan peranan penguam. Sekadar ada sahaja. Betul-betul terasa penulisnya memperbodohkan Pakteh. Begitu juga watak hakim, watak polis. Langsung tiada harapan lagi untuk Si Putih mendapat pembelaan. Mereka ini kelihatannya tidak memainkan peranan sebagai Yang Arif dan Polis yang sebenar. Institusi kehakiman telah digambarkan sebagai Institusi yang tiada kerja dan tidak berbuat apa-apa. Maka kejahatan berleluasa.

Hemat Pakteh berpendapat, hakim dan polis satu dunia ini pun tidak macam itu. Bebal sangat!. Peguam pun bebal. Bila lagi cerita ini nak habis. Sudah tidak sanggup lagi batin ini tersiksa.

Pakda dan Pakmat

Petang itu, baru lepas hujan. Boleh tahan juga lebatnya. Pakteh singgah di warung. Tempat biasa Pakteh minum teh bersama kawan-kawan. Macam selalu Pakteh tidak banyak berbicara. Dengar saja orang di warung itu berbual sesama sendiri. Sesekali Pakteh mengangguk-angguk macam YB. Jangan tidak. Layan saja apa yang diperkatakan Pakmat dan Pakda.

"Anak makan lagi mahal dari ayah" tegur Pakda pada Pakteh yang sibuk melayan anak perempuannya yang berumur 6 tahun sedang buka penutup ais krim.

Pakteh membalas dengan senyuman. Sedikit mengangguk sejurus menghirup teh panas yang baru saja dikacau susunya. Pakteh minum teh harganya 80 sen. Ais krim anak bongsunya RM1.30. Itu sebabnya Pakda menegur.

"Anak zaman sekarang..." tambah Pakmat yang tidak sudah saja kata-katanya. Ke mana jatuhnya ungkapan itu. Hanyut dibawa angin kipas siling yang ligat berpusing.

"Kita dulu, minum tea O pun bila ada orang datang rumah. Emak buatkan untuk orang, kita boleh tumpang minum..." celah Pakda mengingatkan masa kanak-kanaknya dari keluarga yang susah.

"Makan minum tak peduli mana... sedap ke tidak. Asal kenyang saja" balas Pakmat pula.

Dua-dua sama naik menceritakan masa dulu-dulu. Mana tidaknya, dulu zaman payah. Walaupun harga gula cuma 60 sen sekati, duitnya pula payah. Tengik ketiak baru dapat RM3 kerja makan gaji masa itu. Gaji cikgu baru RM80 ketika itu. Bayar pakai duit besi.

Memang benar. Gulai ayam jumpa masa hari raya saja. Daging lembu pula, musim raya kurban. Baru dapat merasa. Pakteh pun dapat membayangkan kepayahan masa lalu. Pakteh pernah makan nasi dengan garam jantan. Sekarang ini, kalau ibu masak kurang sedap saja, anak-anak sudah merajuk. Sudah tidak mahu makan. Tinggalkan saja nasi terhidang. Kecil hati ibu. Apa yang disediakan itu, adalah rezeki dari Allah jua. Tidak baik merungut dan membentak sekalipun ibu hidangkan lauk yang kurang menyelerakan.

Thursday, December 07, 2006

Apabila saya masuk makmal, belum sempat buka komputer dah terjongol budak dua orang ni. Suka betul main game. Belum nak puas-puas lagi. Letak jer la gambar dia kat sini... ha ha ha

Baru saja selesai buat posting berkenaan tukar sekolah budak-budak ni. Takder apa nak dibuat. Mood hari ini kurang sikit la.

Wednesday, December 06, 2006

Ajar mengaji

Malam tadi ada kuliah di surau. Pakteh pergi ke surau sudah lewat. Tidak sempat mengikuti kuliah agama. Dapat dengar hujung-hujungnya sahaja. Pakteh ajar mengaji dulu di rumah lepas maghrib. Anak-anak yang 3 orang itu. Memang sudah bidang Pakteh, jadi ajar sendiri anak-anak mengaji. Biar dia tahu membaca al Quran. Kepada ibu bapa, ajarlah anak-anak mengaji. Kalau boleh ajar sendiri, jangan diharapkan pada orang lain yang mengajar anak kita. Itu yang mustahak. Mengaji itu yang mustahak. Apabila anak kita sudah boleh mengaji, ayat-ayat lain itu, dia boleh teroka sendiri untuk menambah ilmu di dada mereka. Kalau mengaji tidak pandai, tenguk kitab agama dan buku doa pun, jadi macam tikus tenguk besi sahaja.


Ibu Pakteh berpesan, kalau kita tahu mengaji al Quran dengan baik, kita akan boleh berada di hadapan bila dalam majlis. Masa itu Pakteh tidak faham sangat maksudnya. Sekarang baru mengerti. Rupa-rupanya, setinggi mana pun pendidikan seseorang, masyarakat akan menilai dan menerima kita sebagai imam atau ustaz apabila kita baik bacaan al Quran. Kalau baca al Quran pun pelat, maka tetap tak boleh berada di barisan hadapan sekalipun kita mengaji lepasan Azhar.

Ubi Godok gitu

Orang Terengganu sebut 'ubi kayu', orang luar sebut 'ubi'. Jawa sebut 'ubi godok'. Lama tidak merasa ubi rebus sebenarnya. Itulah juadah selepas isyak di surau Langkap malam tadi. Semua orang suka. Mana-mana yang berpantang makan ubi, keledek rebus jadi gantiannya. Ha ha, kena pula dengan tea 'O' panas.

Menurut ibu Pakteh, suatu waktu dulu ubi menjadi makanan asasi. Makanan utama tok nenek kita sebelum merdeka. Zaman duit payah walaupun harga barang tidak semahal mana, bukan macam sekarang. Masa dulu, 5 sen boleh beli macam-macam. Sekarang ini, 10 sen pun budak-budak sudah tidak mahu menerimanya. Tidak boleh beli apa-apa kata mereka. Zaman Pakteh, adalah zaman merdeka. Masa Pakteh bersekolah kebangsaan dulu, ibu bagi duit belanja 30 sen. Sekarang ini, anak-anak pakteh, duit belanja RM1. Ikutkan, tidak cukup dengan RM1 itu, tapi memadalah. Pakteh bukan kaya. Anak-anak disedarkan bahawa dia bukan anak orang kaya. Hidup serba sederhana. Itu pun yang nabi suruh.

Monday, December 04, 2006

Surat Terbuka Buat Nozila Ismail

Salam hormat,
Abang amat kesal apa yang terjadi. Abang Soh yang difahamkan pecah kepala itu tidak segera dimaklumkan kepada abang. Ingat abang ni siapa?. Tak berguna sangat ke? Walaupun selepas itu difahamkan abang Soh tidak parah. Tak parah tu, kata kita. Kalau tak parah, tak kan sampai 2 hari duduk wad.

Hal ehwal keluarga sepatutnya kita kena utamakan. Informasi kena segera disampaikan kalau ada apa-apa kecemasan. Itu lah dia kecemasan. Kalau dah mati bukan kecemasan lagi, kematian namanya. Kalau kematian tak diberitahu cepat pun tak apa, sebab orang yang mati tu dah tak hidup balik dah. Lebih-lebih lagi zaman sekarang. Telefon ada. Kalau tak pun, rumah abang bukan jauh. 5 minit sudah sampai. Tambahan pula, kan tengah laluan ke rumah abang Soh. Tergamak Zila pergi seorang sahaja melawat abang Soh sakit?

Walaupun pada mata Zila, abang ni tidak berguna mana, tapi ingat... abang ada hak menziarahi abang Soh. Abang kita. Abang dapat berita kecelakaan yang dialami oleh Abang Soh melalui Kak Mah yang "gila". Ada ke patut. Peristiwa seperti ini amat mengguris perasaan abang. Sukar dilupakan lagi. Di hujung-hujung usia ini perasaan semakin halus dan sensitif. Kak Lah ada datang selepas itu memberi penjelasan, tapi abang tetap marahkan Zila yang mengenepikan abang.

Fikir-fikirkan.... Abang Yasin.

Sunday, December 03, 2006

Korek cari mana tempat yang bocor

Waduh! kerja tambahan lagi petang ini. Korek kawasan yang disyakki ada paip air yang bocor lantaran tanah basah tak keringnya juga walaupun cuaca panas. Anak lelaki Pakteh tolong juga. Pakteh bukan boleh lama-lama kat tengah panas. Naik pitam jadinya.

Memang ya! Ada yang bocor. Tugasnya tak lah rumit sangat. Nak menggali sahaja yang masalah sikit. Bila sudah bertemu dengan tempat bocor itu, tinggal potong dan belikan penyambung sahaja.

"Mak ai!! banyak tempat bocor paip ni... Nak kena cari paip tambahan. Penyambung saja tak cukup"

Mati La Paksu

Langkap, 2 Dis – Paksu Ali singgah di rumah malam tadi sekembali dari minum di kampung sebelah (Merbau Menyusut) menurutnya. Belum pun masuk ruang beranda rumah Pakteh beliau dah mula merungut bahawa pinggangnya sakit teruk malam sebelumnya selepas menyangkul di kebun. Luas kebun yang diusahakan olehnya, kira-kira muat 1000 pokok lada. Sememangnya penduduk kampung Kasar terutamanya, kebanyakan mereka menanam lada cili merah. Biasanya buah-buah lada dipasarkan ke Kuala Terengganu ataupun dibeli FAMA.

Paksu mengesahkan bahawa dia pernah mengalami batu karang dan pernah dibedah. Besar lagi batu telah dikeluarkan. Dikuatiri penyakit yang sama berulang lagi. Malam semalam, Paksu menceritakan siap berpesan pada bininya... kalau aku mati.... bla bla bla. Nak tergelak Pakteh. Tahan sajalah. Buat-buat minat dan impati mendengar ceritanya.

"Sakit sangat macam nak mati dah" sambung Paksu sungguh-sungguh.

Sebenarnya Pakteh baru-baru ini pernah juga mengalami sakit pinggang teruk. Setelah diperiksa, didapati air kencing kotor dan kebarangkalian untuk kena batu karang. Nasib baik ada ubat yang ditunjukkan oleh abang Pakteh. Alhamdulillah, sekarang tidak sakit pinggang lagi.

Pakteh ada menyebut tentang ubat itu pada Paksu. Nampaknya dia berminat.

"tak mahal... RM15 untuk 2 biji" Pakteh beritahu Paksu.

"2 hari lagi kalau masih belum hilang sakitnya, jumpa saya. Saya berikan ubat itu. Stok ada" sambung Pakteh lagi.

Apa yang Pakteh makan sekarang ini ialah Pronoton + Genko. Genko setiap hari 1 biji sebelah pagi, sementara pronoton pula 1 biji untuk 3 hari sekali. Pakteh kurangkan pronoton tu sebab Pakteh ada darah tinggi. Kurang elok kalau banyak-banyak ambil pronoton. Dalam hal ini sebenarnya tidak serasi dengan Pakteh sahaja. Sebab pronoton itu juga sebenarnya boleh menstabilkan darah.
Horrey Gaji

Seperti hari-hari kebelakangan ini, Pakteh sering berkurung di Makmal Komputer kerana melungsuri blog kawan-kawan dan updated blog dairi ini. Email yang dua tiga ketul itu pun kena dilihat walaupun tak hari-hari. Yahoo Messenger juga kena login kalau-kalau ada offline mesej yg masuk. Itulah rutin Pakteh apabila online.

Kira-kira pukul 1.00pm pintu makmal diketuk...

"Cikgu... ada tokey datang. Nak jumpa Cikgu" kata salah seorang pekerja sekolah.

"Jumpa cikgu Usop la. Jumpa saya tak boleh buat apa-apa" balas Pakteh bersahaja campur terkejut kerana tiba-tiba sahaja orang "besar" nak jumpa.

Pakteh tahu dah. Pakteh agak dah, ini mesti hal gaji pekerja. Pakteh rasa, Pakteh hanyalah cikgu kecil di sekolah ini. Baru 2 tahun bertugas di sekolah ini. Tiada apa-apa tugas besar dipertanggungjawabkan. Kecil-kecil tu ada la. Ini kan pula nak uruskan pasal gaji pekerja.

Photobucket - Video and Image Hosting

"Sebentar lagi saya datang" balas Pakteh.

Memang betul. Tokey itu nak serahkan duit gaji pekerja swasta yang seramai 8 orang. Kira banyak ribu juga lah. Gembiralah mereka yang dapat upah dari kerja yang dilakukan selama sebulan. Pakteh cepat-cepat hantar SMS kepada Guru Besar dan GPK1 tentang perkara tersebut. Tidak berlengah lagi Pakteh balik ke rumah. Risau duit banyak duduk keseorangan dalam makmal. Mana tau ada hantu ke... he he.

Sesuai dengan bulan haji yang jatuh pada bulan 12 ni, gaji cikgu bulan ni pun awal juga. 18hb Dis kalau tak silap.
Rawatan Susulan Ibu

Sg Tong, 3 Dis - Ibu perlu hadir ke klinik Sg Tong untuk menerima rawatan susulan masalah kesihatannya. Sekarang ini musim cuti sekolah, jadi tidak ada masalah untuk ke mana-mana.

Tiga bulan yang lalu ibu menerima rawatan di HBKT yang jauhnya 60km dari rumah. Pun kena pergi juga. Ini dah dekat, memang tiada masalah kalau kereta tidak meragam. 10 minit boleh sampai. Menunggu di sana pun taklah lama, tak sampai 1 jam semuanya beres. Siap ambil ubat. Berbanding dengan semasa di HBKT dulu, nak ambil ubat saja punya la lama. Hinggakan ada orang yang hilang sabar menunggu.

Dikeranakan jauhnya jarak ke KT, maka kelonggaran untuk rawatan rutin ini dipindahkan ke klinik yang lebih dekat iaitu di Sg Tong. Pihak hospital sudah sertakan surat rujukan. Kerja jadi mudah. Tunjuk saja surat dari HBKT itu, tak banyak cerita.

Ibu sakit apa? Setakat ini yang sudah dikenalpasti, ibu mengalami sakit jantung, asma dan darah tinggi. Barangkali ada lagi yang belum dikenalpasti. Maklumlah usia sudah 70 tahun. Semenjak dimasukkan ke hospital 3 bulan lalu, ibu nampak sihat. Ubat memang tak putus. Mujurlah ibu tidak cerewet makan ubat. Apa saja yang doktor suruh, diikutnya. Kalau jenis yang pandai-pandai sendiri tu payah juga, tak nak ikut cakap doktor. Bila terdesak baru nak panggil orang itu dan ini.

Ibu tak mengadu sakit-sakit. Mungkin juga dia tak mahu saya susah hati. Lagipun dia lihat saya sibuk jer siang malam.

"Kalau batuk, baru ada lelah. Kalau tak batuk, tak lelah sangat" masa dalam perjalanan tadi, ibu ada menyebut.
"Ubat lelah ada lagi?"
"Tak ada dah... lama dah habis" balas ibu.
"Ubat sedut ada lagi" sambungnya kemudian.

Di klinik, setelah kad rawatan dan nombor giliran diperolehi, saya serahkan pada ibu yang memegangnya. Sebentar sahaja nombor ibu dipanggil dan ibu masuk ke bilik pembantu perubatan bertugas. Saya biarkan sahaja, tunggu di luar pintu.

Dalam fikiran saya lepas ini nak updated blog mengenai kem kembara masjid SMKTI 2006. Dah siap taip dah, tinggal publish sahaja.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, ibu minta singgah di pasar. Saya tak sangka ada apa-apa yang ibu nak beli. Rupa-rupanya dia beli ayam separuh dan sedikit sayur untuk dikirimkan kepada isteri saya. Ibu tidak masak sendiri, anak-anak menantunya yang hantarkan makanan yang siap dimasak. Kalau dapat peluang ibu belikan lauk yang disukainya untuk dimasakkan.

Sambil-sambil menunggu ibu, sempat juga buat entri di sembang kedai kopi... hehe

Saturday, December 02, 2006

Tazkirah Mingguan

Pakteh hadir di surau baru tak berapa jauh dari rumah Pakteh. Ada ustaz yang baca kitab, dan ramai juga yang mendengarnya termasuklah Pakteh. Sempat-sempat la rekod dalam PDA Pakteh ni apa isi kuliahnya untuk renungan Pakteh yang semakin hari terasa semakin jauh meninggalkan tarikh lahir dan menuju mati.

Menurut ustaz, kita hidup ini hendaklah penuh dengan cakap agama (amar makruf nahi mungkar) walau siapapun kita. Samada kita seorang pemimpin, maupun rakyat biasa. Cakap agama perlu mengikut cara dan kemampuan, baru boleh selamat di dunia dan akhirat. Ini kerana kayu bakar yang terdapat dalam neraka itu terdiri dari manusia dan batu, katanya.

Selama kita di dunia ini, macam-macam alasan boleh kita berikan untuk membolehkan kita melakukan sesuatu yang dilarang. Akan tetapi diakhirat nanti, balasan setimpal bakal menunggu kita, pesan ustaz itu lagi. Sebagai contoh; bila pasangan sudah bertunang sahaja, sudah dibawa ke hulu ke hilir macam sudah jadi laki bini. Alasannya baru rock. Padahal, pertunangan itu hanyalah sebagai “tanda” sahaja, belum kahwin lagi.

“Betul… ya tak ya juga kata ustaz tu” Pakteh kata dalam hati.

“Segala permasalahan seperti zina, khalwat, rogol dan sebagainya boleh dikawal dengan agama” sambung ustaz lagi.

Sebelum berakhir, ustaz ada menyebut sepotong hadis iaitu:

Tiga perkara akan berlaku apabila manusia tinggal amalan agama. Tiga perkara itu ialah…

  1. Hidup tidak berkat.
  2. Lahir pemimpin jahat.
  3. Keluar dunia tanpa iman (maksudnya mati dalam suu ul khatimah)
Seronok la pulak bila dapat lihat dairi Pakteh berwajah baru... hehe. Tadi sempat meronda-ronda dan terjumpa tulisan sex berbahasa melayu. Memang pun pakteh tak reti bahasa inggeris. Entah betul ker tidak cerita itu, pakteh tak tahu cuma sesekali baca OK juga lah. Pakteh kurang suka baca cerita yang panjang-panjang berjela. Kalau boleh nak yang ringkas-ringkas saja.

Banyak pula hit yang pakteh perhatikan. Tentu masyarakat Malaysia. Sebab berbahasa melayu. Orang putih tentu dah tak masuk ke situ. 300 ribu lebih hit masa pakteh lawat sebentar tadi.
Kemaskini Dairi

2 Dis - Entah macam mana setelah sekian lama Pakteh abaikan dairi ini, tergerak di hati untuk updatedkan. Maka terjadilah posting ini. Password pun hampir lupa dah.

Pakteh fikir tak sudah juga kalau dairi ini dibiarkan begitu sahaja. Sebabnya Pakteh ni jenis suka menulis dan menconteng apa sahaja yang terlintas difikiran. Bila kita terfikir sesuatu, kita catatkan di mana-mana... mungkin suatu hari nanti, kita ingin mendapatkan semula idea kita itu untuk kegunaan tertentu. Pasti kalau idea tadi kita catatkan di kertas, entah mana-mana dah perginya kalau setelah 1 tahun ditinggalkan. Dah kena bakar dah.

Namun kalau ditulis di blog ini, setahun kemudian pun ia masih melekat di sini. Itupun kalau owner website tidak buat hal. Rasanya kalau kita tidak buat benda-benda salah, owner pun tak ada hal punya.

Selama Pakteh menyepi kira setahun yang lalu, pakteh buka satu blog lain yang lebih berbentuk luahan rasa dan peristiwa yang Pakteh rasa tidak secocok atau yang Pakteh sendiri suka. Tuan-tuan pun boleh memantaunya di SINI ya. Tak kena bayar... hehe.

Setelah setahun pakteh tinggalkan dairi ini, mungkin anda tertanya-tanya apa yang pakteh buat? Sebenarnya Pakteh masih bertugas di SK Alur Lek Kasar, semenjak Jan 2005. Belum berpindah ke mana-mana semenjak itu. Seperti dimaklumkan, sebelum SKALK, pakteh di SMKC.