Friday, December 29, 2006

Khatib Tamu

Zup! menyucuk kalbu ini mendengar kesilapan dalam khutbah sebentar tadi. Spontan berdecit dua kali mulut ini sambil menggelengkan kepala. Ini bukan yang pertama kali aku mengalaminya. Sudah banyak kali. Kesilapan yang dilakukan oleh khatib yang ini, sudah dua kali ikut perkiraanku. Sememangnya kesalahan kecil itu tidak mencacatkan khutbah sebab bukan rukun. Cuma sakit telinga jemaah yang memahami Bahasa Arab. Bagi yang tidak mengaji arab, dengar macam bagus saja. Sudah betul lah semua bacaannya itu.

Semenjak aku mendengar kesilapan itu, terlintas hendak menegur khatib ini. Akan tetapi apabila khutbah dan upacara solat jumaat selesai, perasaan yang terdetik di hati itu hanyut dibawa bayu yang sepoi-sepoi. Bukan aku melupakannya, cuma sabar dan tunggu waktu terbaik. Aku fikir juga resikonya apabila aku buat teguran nanti. Bolehkah diterimanya.

Malu kalau ada di kalangan jemaah yang juga seperti aku mengetahui Bahasa Arab yang menyedari kesilapan sebutan itu. Macam tidak tahu langsung Bahasa Arab si khatib ini.

Sepatutnya orang yang nak jadi khatib tahu lah sedikit sebanyak Bahasa Arab. Barulah baca tidak salah. Sekalipun tidak belajar arab, tenguklah betul-betul teks yang disediakan. Jangan hendak berlagak hebat, kerana berstatus ustaz dan haji lagi. Aku pernah lihat teks khutbah yang selalu dibacakan. Memang tulisannya lain dari apa yang disebut khatib barusan sebentar.

Ustaz dan Haji juga kena belajar. 'Ujub itu adalah "Syirik Khafi". Bahaya!Jangan berhenti menimba ilmu. Kalau sudah bergelar ustaz, tapi enggan menambahkan ilmu dalam bidang-bidang yang berkaitan dengan keustazan kita itu, dikhuatiri jadi 'ujub. 'Ujub itu adalah "Syirik Khafi". Bahaya!

Khatib tadi, bukan khatib tetap. Hanya khatib tamu sahaja. Kebetulan dia juga sebagai penyelia guru pelawat dan datang mengajar di masjid yang sama. Seminggu sekali datang berkuliah di masjid, selepas maghrib sampai Isyak. Aku selalu juga hadir mendengar kuliahnya.

Sungguhpun begitu, aku tidak sanggup membangkitkan isu kesilapan bacaannya itu. Bimbang lain pula tanggapan ustaz yang memberi kuliah dan disanjung oleh masyarakat tempatan. Sedangkan aku hanyalah insan kerdil yang tiada apa-apa jawatan. Siapalah aku hendak menegur ustaz 'muktabar'. Dia juga pernah mengaku yang dirinya "qari". Sekalipun aku sakit hati, aku pendamkan di lipatan sanubari.

Aku sedar, diam lebih baik dari buka mulut. Bercakap biar bertapis dua tiga lapis. Itu pun masih juga tersasul dan mengundang kemarahan orang. Luahan di dairi peribadi rasanya lebih baik.

5 comments:

amirahsyuhada said...

mungkin ada cara lain selain bersemuka dengan khatib tersebut, sebab biasalah kadang2 setiap manusia ni ada ego, cuma tinggi rendah sahaja ukurannya. Mungkin dengan menulis surat layang ke, surat layang ni efektif juga kadang-kadang, bukan takut diketahui, tetapi untuk kemaslahatan bersama. Ini satu contoh cadangan sahaja.

nurdia said...

tak salah kita menegur tapi biar lah berhemah... jangan sampai mengecilkan hati orang len....

delang said...

kang silap tegur buleh bertukar menjadi pertengkaran besar. tegurlah dengan cara yang lembut. :D

zizie ali said...

sebutan bahasa melayu pun kadang-kadang ada yg salah. di sebuah masjid, setiap kali khatib tu baca khutbah pasti sebut 'palu-memalu'. sedangkan sebenarnya 'pulau-memulau'. saya dah cek teks jawi tu. memang 'pulau-memulau'.
kawan saya ada cerita, ada khatib yang membaca 'memberatkan' jadi 'memberakkan'.

Tokoh Melayu Boleh said...

Salam...Tumpang lalu.... Rileks le pakteh kesilapan teknikal aje tuh