Friday, December 08, 2006

Pakda dan Pakmat

Petang itu, baru lepas hujan. Boleh tahan juga lebatnya. Pakteh singgah di warung. Tempat biasa Pakteh minum teh bersama kawan-kawan. Macam selalu Pakteh tidak banyak berbicara. Dengar saja orang di warung itu berbual sesama sendiri. Sesekali Pakteh mengangguk-angguk macam YB. Jangan tidak. Layan saja apa yang diperkatakan Pakmat dan Pakda.

"Anak makan lagi mahal dari ayah" tegur Pakda pada Pakteh yang sibuk melayan anak perempuannya yang berumur 6 tahun sedang buka penutup ais krim.

Pakteh membalas dengan senyuman. Sedikit mengangguk sejurus menghirup teh panas yang baru saja dikacau susunya. Pakteh minum teh harganya 80 sen. Ais krim anak bongsunya RM1.30. Itu sebabnya Pakda menegur.

"Anak zaman sekarang..." tambah Pakmat yang tidak sudah saja kata-katanya. Ke mana jatuhnya ungkapan itu. Hanyut dibawa angin kipas siling yang ligat berpusing.

"Kita dulu, minum tea O pun bila ada orang datang rumah. Emak buatkan untuk orang, kita boleh tumpang minum..." celah Pakda mengingatkan masa kanak-kanaknya dari keluarga yang susah.

"Makan minum tak peduli mana... sedap ke tidak. Asal kenyang saja" balas Pakmat pula.

Dua-dua sama naik menceritakan masa dulu-dulu. Mana tidaknya, dulu zaman payah. Walaupun harga gula cuma 60 sen sekati, duitnya pula payah. Tengik ketiak baru dapat RM3 kerja makan gaji masa itu. Gaji cikgu baru RM80 ketika itu. Bayar pakai duit besi.

Memang benar. Gulai ayam jumpa masa hari raya saja. Daging lembu pula, musim raya kurban. Baru dapat merasa. Pakteh pun dapat membayangkan kepayahan masa lalu. Pakteh pernah makan nasi dengan garam jantan. Sekarang ini, kalau ibu masak kurang sedap saja, anak-anak sudah merajuk. Sudah tidak mahu makan. Tinggalkan saja nasi terhidang. Kecil hati ibu. Apa yang disediakan itu, adalah rezeki dari Allah jua. Tidak baik merungut dan membentak sekalipun ibu hidangkan lauk yang kurang menyelerakan.

No comments: