Wednesday, February 28, 2007

Alahai

"Chait!" aku. Terkujat... Terperanjat.

Stand motor jerangkung itu sudah berkarat. Rongak dan tajam. Bila berlawan dengan ibu jari kaki aku tentulah ibu jari yang rabak. Mujur tidak banyak. Letak minyak gamat. Berhenti darah. Tentu pedih bila mandi pagi esok.

Kalau selalu berangan begini lah jadinya. Sebenarnya aku bukan berangan. Cuma aku tidak memberi perhatian kepada apa yang aku lakukan ketika itu. Bila aku ingat kembali, rupa-rupanya fikiranku bercelaru sebab banyak tugasan yang perlu disiapkan. Alahai... Nasib la ibu kaki. Aduh duh duh! Fus!

Tuesday, February 27, 2007

Bikin Sendal Tayar

"Bikin sendal tayar kereta jer... telefon tu" kata sahabat.

Luluh rasa hati. Pakteh tahu, dia berseloroh saja. Sebab pakteh adalah kawan baiknya. Dia kata begitu bila tanya dia pakai handphone jenis yang macam mana. Tahun 2000 dulu, telefon hitam putih. Dulu tidak boleh SMS. Seingat Pakteh, handphone yang boleh sms ini, sekitar awal 20-an gitu. Mula-mula hanya untuk nombor yang sama sahaja, kemudian baru diperluaskan untuk talian berlainan.

Faham lah pakteh bahawa sahabat pakteh itu guna handphone jenis yang canggih, boleh ambil gambar dan MMS. Jadi dapatlah pakteh hantar mms atau setidak-tidaknya sms yang jumlah perkataannya banyak. Macam karangan. Senang untuk hantar berita yang agak panjang.

Ada satu perkara yang Pakteh baru perasan tentang mesej panjang melalui SMS ini ialah berkenaan kos yang dicaskan oleh pembekal talian kita. Misalnya kalau mesej yang dihantar ini bersamaan dengan enam sms biasa maka dicas enam kali. Kalau satu sms itu dicas 15 sen maka, 15 x 6 = RM0.90. Satu mesej biasa hanya muat 160 huruf sahaja, termasuk jarak antara perkataan. Cas untuk 1 mms biasa ialah 43 sen. Bermakna kalau mesej panjang, lebih untung guna mms berbanding sms. Sudah lama pakteh terperangkap antara sms dan mms ini.

"Anda bagaimana? Perasan tak?" pakteh.

Pakteh ingatkan pada diri sendiri, jangan buat sendal tayar kereta kalaupun dapat telefon hitam putih. Gunalah selagi boleh digunakan atau berikan kepada pihak yang memerlukan. Pakteh ingatkan juga pada diri, siapa asal usul pakteh.

Semasa pakteh berada di tempat ceramah malam tadi, dalam keadaan orang bersesak-sesak dan khusuk mendengar ceramah. ada seorang makcik nak pinjam telefon untuk menghubungi suaminya, sebab hendak ajak balik. Anaknya sudah mengantuk. Pakteh hulur nokia hitam putih. Telefon warna, ada juga. Sayang.

Memanjang dia ucap terima kasih selepas berjaya menghubungi suaminya.

Monday, February 26, 2007

Entri Khas [TAGGED]

Rules of the game: Each player of this game starts out by telling 6 weird things about themselves on their own blog, as well as state the rules clearly. At the end, you will need to choose 6 people to be tagged and list out their names. After you do that, leave them a comment on their blogs letting them know you tagged them.

Buat teman-teman yang jauh di mata tetapi dekat di hati. Terutamanya MrsPARIN yang telah tagged pakteh. Pakteh sebenarnya kurang faham dengan 'permainan' ini. Pakai hantam saja. Mana yang terlebih dan terkurang itu, mohon maaf banyak-banyak. Sesuai dengan kehendak 'permainan' ini, dititipkan di bawah ENAM perkara yang berkaitan dengan peribadi Pakteh untuk dikongsi bersama. Anda sudah bersedia? OK... Lets go to the zoo!.

1LATAR BELAKANG: Pakteh berasal dari keluarga petani. Yatim semenjak usia 5 tahun. Semasa Pakteh menginjak ke darjah 1, ibu Pakteh kahwin lain. Merasalah hidup dengan bapa tiri. Sekarang ini bapa tiri itu pun sudah meninggal. Kini Pakteh tinggal bersama ibu dan anak isteri Pakteh di kampung kelahiran sendiri, di Setiu Terengganu. Pakteh mengaji tidak tinggi. Setakat diploma sahaja di KUSZA (1991). Tugas Pakteh sekarang pula, sebagai guru di SKALK. Nama sebenar saya ialah Mohd Yasin. Pakteh itu ialah nama yang dipanggil oleh anak saudara saya. Memandangkan sudah lama pakteh guna nama ini di internet, maka rasa serasi dengan panggilan ini. Kemahiran yang pakteh ada adalah berkisar kepada bidang Pendidikan Islam dan Bahasa Arab. Bahasa Inggeris... isk, 'tepu' habis. Masa mengaji di KUSZA dulu pun cukup makan sahaja. Justeru itu, kalau hendak berinteraksi dengan Pakteh, minimakan penggunaan BI. Takut nanti, lain yang anda maksudkan, lain pula pemahaman Pakteh. Naya jadinya.

2MINAT: Pakteh sangat meminati bidang penulisan. Pernah masa tingkatan 5 dulu, Pakteh ambil kursus penulisan gaya pos, tapi tidak khatam sebab kekurangan modal. Selain menulis dan membaca, Pakteh juga memang giler habis dengan komputer. Semuanya Pakteh godeh sendiri, guna kaedah cuba jaya. Pakteh kenal internet sekitar tahun 1998. Masih baru. Tinggal lagi kerana minat mendalam kepada komputer, Pakteh boleh buat website sendiri bahkan banyak website yang pakteh buat dan begitu aktif di Yahoogroup serta berbagai forum. Dulu... Dalam bidang blog pula, kali pertama Pakteh buat posting di blog Pakteh ini tahun 2004 yang lalu. Hingga Disember tahun 2006 barulah Pakteh faham dan lebih aktif di blog. Sehubungan itu, pakteh telah padam website statik pakteh. Lalu Pakteh jadikan blog ini sebagai website utama. Suka benar mencuba perkara-perkara baru. Maka tidak hairan lah kalau blog yang pakteh kendalikan pun berbagai, seperti Apa-apa Ajer, SKALK, UZ, BCP, Belajar Wordpress. Banyak tu. Ada lagi yang pakteh sedang eksplore.

3MENYENANGKAN: Paling suka bila ada orang memberi penghargaan. Maksud Pakteh, kalau ada orang minta bantuan, tentu Pakteh tidak akan hampakan. Akan dicuba sedaya upaya mungkin. Jangan minta duit sudah lah. Duit memang Pakteh tidak ada banyak. He he he. Suka sekiranya orang tepati janji dan sangat menepati masa. Kalau boleh Pakteh ingin jadi orang pertama dalam semua hal seperti menghantar tugasan dan yang sewaktu dengannya. Pakteh juga rasa damai apabila melihat wajah anak-anak manja. Pakteh pernah menerima kecaman serta sindiran gara-gara Pakteh meminati artis (lelaki) AF4 2006 tahun lalu yang berasal dari Sarawak. Harapnya kalian tidaklah kutuk pakteh pula selepas ini. Sedih. Pakteh juga senang sekiranya ada cukup duit untuk berbelanja dan melakukan aktiviti seharian. Tidak lupa ingin digarapkan di sini, pakteh senang dengan tugas2 pakteh sekarang. Sebagai pendidik. Alahai.

4TIDAK SUKA: Minta dijauhkan. Apa itu... Isk.. Paling tidak suka ialah kena marah. Bila kena marah, rasa hendak menangis lebih-lebih lagi kalau pakteh rasa pakteh tidak bersalah. Orang jawa kata cengeng. Walaupun begitu, Pakteh tidak suka lihat air mata wanita. Bagi pakteh wanita suka mengada-ngada. Maaf cakap. Satu lagi yang tidak suka apabila wanita yang jadi bos, menengking dan mengarah itu dan ini dengan suara yang ternyata berbentuk 'arahan'. Pakteh suka kepada arahan yang berbentuk 'permintaan'. Nasib baik bos pakteh sekarang ini lelaki. Kalau tidak, tension memanjang ler. Sebenarnya pakteh menghormati wanita dan sesiapa yang menghormati pakteh. Sekali orang hormat, 10 kali pakteh hormat dia. Sekali orang tunjuk benci, sampai bila-bila pun pakteh tidak akan memaafkannya. Buruk kan...

5IMPIAN: Pertama, Pakteh ingin lihat karya-karya pakteh diterbitkan dalam bentuk buku. Sekarang ini pakteh sedang mengumpulkan entri-entri blog pakteh untuk diterbitkan. Pakteh mahu anak cucu pakteh dan orang di sekeliling mengenali pakteh lebih dekat melalui tulisan-tulisan pakteh sebab pakteh kurang berkomunikasi dengan mereka. Kalau sudah terbit nanti, akan Pakteh war kan di sini. Doakan ya. Kedua, kalau boleh pakteh hendak memiliki rumah yang besar dan selesa yang dilengkapi dengan kolam renang dan halaman yang luas. Berangan saja lah. Selanjutnya pakteh ingin bersara tetapi pendapatan sentiasa masuk. Tidak membataskan perbelanjaan dan keperluan pakteh sekeluarga. Dapat menunaikan haji dalam usia masih muda dan kuat untuk mengerjakan ibadat ketika di tanah suci. Saya menghormati impian saya dan tidak menganggapkan kelakar.

6MASALAH: Pakteh rasa sukar untuk berkomunikasi secara langsung dengan sesiapa sahaja kerana Pakteh memiliki sifat pendiam. Pakteh lebih banyak mendengar dari mengeluarkan suara apabila berada di kalangan kawan-kawan. Kini badan pula terasa sakit-sakit. Tambahan pula Pakteh mengidap darah tinggi. Apabila terkenangkan pengidap darah tinggi ini ada kaitan pula dengan serangan 'angin ahmar' membuatkan rasa murung dan pasrah. Akhir-akhir ini perasaan mudah tersentuh dan sedih. Apa pun kita kena cool dan ceria selalu, sekali pun di alam siber.

MAJULAH SUKAN UNTUK NEGARA

kua kua kua

Mangsa Tagged:

1) Ricky Wan

2) Sinaganaga

3) Tokrimau

4) Basri

5) AM

6) Pengkritik blog

Sunday, February 25, 2007

Mejor Bersara

Sebenarnya aku sudah lupa tatacara pemakaiannya. Semua buku nota yang berkaitan aku sudah serahkan kepada peneraju yang baru di SMKBM. Bukan hak milik aku. Sudah lima hari baju uniform itu dibeli. Logo dan aksesorinya yang aku jadi was-was. Di manakah tempat hendak dijahit. Maklumlah sudah empat tahun aku meninggalkan benda ini. Dulu aku antara Guru Penasihat yang top. Pangkat Lefternan.

+ Hello... Assalamualaikum.

- Waalaikumussalam.

+ Boleh saya bercakap dengan En Hisham.

- Siapa ni?.

+ Ustaz Yasin.

- Sebentar ya.

+ Saya.

Dulu aku antara Guru Penasihat yang top. Pangkat LefternanAnak En Hisham yang menyambut panggilan telefon. Sudah besar anak Cikgu Hisham. Berdasarkan suaranya yang kedengaran begitu matang.

- Assalamualaikum.

+ Alaikumussalam... Ustaz Yasin sini...

- Siapa?

+ Ustaz... Ustaz Yasin.

- Haaa ustazzz... masya allah ustazz...

+ Apa khabar?

- Bagus.

+ Tengah buat apa... sibuk ke?

- Kat dapur tadi. Tenguk Ikan.

+ Masak ke?

- Tak lah.. tenguk ikan hidup... akuarium.

+ Ooo.. Saya nak tanya sikit ni... nama negeri dan KRS ni. Kiri kanan tu, macam mana ek. Dah lupa la.

- Pegawai ke, pelajar?

+ Pelajar... anak punya.

- Aku pun tak ingat juga. Jap aa aku tanya Hapis. Sebenarnya aku dah lama bersara KRS ni. Biasalah orang muda dah ramai. Kasi dia orang la pulak.

+ Ya ka.

Aku dengar dia memanggil anak sulungnya yang bernama Hapis. Kemudian perbualan kami bersambung.

- Sekarang ni kira pangkat Mejor bersara la... aku ni...

+ Ha ha ha... gitu ke?

- OK.. Tag negeri, sebelah kiri... KRS, sebelah kanan.

+ Malaysia?

- Mana ada Malaysia.

+ Oh... tak ada eh?

Aku sengaja bertanya Tag Malaysia letak di bahagian mana. Sebenarnya aku pun keliru. Kalau Pengakap, ada Malaysia. Siap bendera lagi.

Aku serahkan lakaran pemasangan kedudukan logo, nama negeri dan KRS di atas kertas sebelum aku serahkan kepada ibu untuk dijahitnya. Petang ini juga aku hantar. Uniform KRS. Kepada Kak Umi.

Saturday, February 24, 2007

Menggigil 'gian'

Aku, isteri dan anak yang bongsu hadir ke surau Bukit Merah. Aku naik motor dengan anak. Isteri jalan kaki bersama iparnya. Adik aku. Bukan jauh, 1km saja. Biar dia jalan, kasi kurus sikit. Hari ini ada gotong royong. Dua ekor lembu ditumbangkan, hasil sumbangan seorang dermawan. Aku tak pasti apa majlisnya. Cuma aku agak. Sepanjang hari ini begitu sibuk. Dua ekor lembu itu mesti di bereskan. Masak dan jamu. Di sebelah malam nanti ada majlis ilmu. Ceramah penerangan PAS.

Aku sengaja hadir tanpa membawa apa-apa alatan. Malas. Konon-kononnya tunjuk muka saja. Lepas itu, lesap. Memang pun aku cabut lebih awal pun.

Supaya tidak nampak pemalas sangat, aku tawarkan diri untuk parut kelapa. Orang kampung aku sebut 'mesin kelapa'. Kalau potong rumput, sebut 'mesin rumput'. Aku tidak biasa mesin kelapa. Tenguk orang buat macam senang. Lagipun duduk tempat yang agak selesa berbanding kerja-kerja menyiang lembu yang dua ekor itu. Itu pasal lah aku pilih kerja parut kelapa. Alahai.

Aku pun duduk di atas batu blok yang disusun macam pangkin mengadap mesin kelapa. Ngam dengan punggungku. Macam dalam iklan TNB di TV, cuma topi keledar aku tak pakai.

Satu.... dua... tiga.... empat.... lima.... enam.... tujuh.... Siap. Tujuh 'belah' kelapa. Maknanya tiga biji setengah. Belum puas lagi 'main' mesin kelapa ini sebenarnya, tapi sudah habis. Setelah semua sisa-sisa kelapa parut yang melekat pada dandang mesin itu dibersihkan, aku pun cuci tangan di paip berdekatan.

Ada air tebu yang disedekahkan oleh seorang penduduk, dalam tong besar. Aku tuang setengah gelas dan telan. Manis. Ada kaitan dengan kencing manis. Lepas itu, aku mula bakar rokok. Yang hairannya, tangan jadi menggigil semacam. Ibu jari terketar-ketar macam kena serangan parkinson pula. Maaf cakap, teringat aku pada Haziq dalam AF4. Aku cuba dial nombor telefon di handset, pun macam orang 'gian'. Mungkin kerana tidak cukup kelapa yang hendak diparut (mesin).

Bertaraf lima bintang

Malam ini empat lingkaran ubat nyamuk dibakar serentak. Letak empat penjuru. Padan muka nyamuk. Biar senoneng kepala dia. Bila ada saja nyamuk yang kepeningan dan terbang lemah, aku tampar sampai hancur. Tunggu apa lagi. Macam mana hati ini tidak geram kalau kita di dalam kelambu pun masih lagi boleh hulurkan belalainya nak hisap darah. Ini mesti nyamuk betina. Gatal. Bekas gigitannya.

Malam tadi ubat nyamuk tidak ada. Kehabisan. Hanya sekerat sahaja yang ada. Belum pukul 12.00 sudah inna lillah. Habis. Kita anak beranak memang tidur dalam kelambu. Cuma yang membuatkan aku tidak puas hati ialah bila terjaga tengah malam. Lengan dan tangan aku terasa gatal-gatal digigit sang nyamuk. Rupa-rupanya masa kita tidur, bila tangan kita tersentuh kelambu, nyamuk-nyamuk itu akan cucuk melalui liang-liang kelambu. Sah lah jenis kemaruk darah.

Habitat nyamuk memang bertaraf lima bintang di sini. Rumah Tok Ayah dikelilingi sawah padi. Sesuai benar untuk pembiakan nyamuk.

Menjelang subuh, nyamuk-nyamuk yang separuh pengsan semenjak awal malam mula bangkit dan mendapatkan mangsanya macam sebelumnya. Ubat nyamuk empat bentara guru sudah padam! Pergh...

Friday, February 23, 2007

Inilah Tanah Sekangkang Kera

Tok Ayah kelihatan sihat. Segar. Dia baru balik dari mencerut rumput. Untuk makanan lembu peliharaannya. Sebenarnya lembu pawahan. Bukan milik Tok Ayah sepenuhnya.

"Dah lama sampai" Tok Ayah menegurku sambil menghulurkan tangan.

Kami bersalaman. Mertua dan menantu. Tok Ayah adalah bapa mertuaku. Anak-anak aku yang memanggilnya Tok Ayah. Aku panggil dia, ayah.

"Baru sampai. Lewat dah bertolak tadi, pukul 3" terangku.

Mata kami bertaut. Kami menyelami ke dasar mata masing-masing. Itu kebiasaan. Bila kami bersalaman. Lebih-lebih lagi kalau dengan orang tua. Apa lagi kalau dengan ayah mertua sendiri. Orang tua ada berkata, kurang sopan bila bersalaman tidak tenung dalam mata.

Pangkin buluh yang usang dan uzur menjadi sasaran punggung kami berdua. Aku tahu, Tok Ayah kepenatan dan baru balik berpanas kerana memotong rumput untuk makanan lembu-lembu jagaannya. Setelah senggang beberapa ketika, kemudian Tok Ayah bersuara.

"Ayah cadang nak jual separuh tanah kita ini"

Aku terdiam dan menanti penjelasan lanjut Tok Ayah.

"Haji Man tu... sanggup bayar" sambung Tok Ayah lagi.

Rupa-rupanya Tok Ayah sudah lama memendam cita-citanya untuk menyiapkan binaan rumah batunya yang terbengkalai. Tiga puluh peratus lagi belum siap rumah itu. Usianya yang semakin ke penghujung mengharapkan rumahnya dapat disiapkan. Kata Tok Ayah, rumah itu bukan untuk dirinya yang sudah hendak mati tetapi untuk anak cucunya. Bagi menyudahkan rumah yang belum siap itu, Tok Ayah terfikir hendak menjualkan sebahagian tanah yang menjadi tapak rumah yang sedang dibina itu.

"Cuma kalau anak Sin boleh bayar, lebih baik dijual kepada anak Sin. Tidak jatuh ke tanah orang"

Tok Ayah mengatur kata-kata yang mengandung suatu maksud yang berat untuk diluahkan oleh seorang bapa yang kini berusia 86 tahun. Kata-katanya itu ditujukan kepadaku. Aku tidak terus memberi kata putus. Cuma aku masih lagi memikirkan bagaimanakah caranya hendak menyelamatkan tanah itu dari terjatuh ke tangan orang lain. Aku perlu buat sesuatu.

Wednesday, February 21, 2007

Kawan Lama

KTR 17 Feb - Mejor Servis. Perkataan itu bersarang dalam kepala aku. Kalau semalam boleh lepak-lepak, hari ini seawal 8.00am aku sudah siap sedia untuk ke Kuala Terengganu. Temujanji untuk servis kereta sudah dibuat petang semalam menerusi handphonenya. Bertolak perlu awal supaya tidak terlewat. Maklumlah perjalanan akan lebih 60km dari rumah.

"Kak Umi saja boleh ikut" kataku.

Aku membenarkan anak sulung aku itu ikut ke Kuala Terengganu kerana aku hendak belikan uniform KRS untuknya. Kalau tidak, aku rasa lebih baik aku pergi seorang sahaja. Aku tahu, servis kereta biasanya mengambil masa yang bukan sekejap. Selepas siap servis kereta barulah kita ke kedai yang menjual uniform yang dimaksudkan. Ternyata Kedai REX TRADING yang terletak di Pusat Bandar Kuala Terengganu itu terdapat segala-galanya keperluan unit uniform di sekolah. Harganya berpatutan. Ringkas cerita terbang lah RM2 ratus.

Benar seperti yang diduga. Lebih dua jam setengah aku dua beranak tersadai di Pusat Servis itu. Nasib baik pusat servis ada menyediakan bilik yang agak selesa untuk menunggu. Bilik itu dilengkapi dengan pendingin hawa, bilik air dan TV. Aku bukan suka duduk dalam bilik berhawa dingin itu. Tak boleh nan 'memerun'.

"Akak tunggu dalam bilik ini. Ayah kat luar" aku mengarahkan.

Sebelum itu aku berikan satu handphone aku kepada Kak Umi. Hanphone lagi satu ada bersamaku. Sekurang-kurangnya kami boleh berhubung sekiranya ada kecemasan, fikirku.

Aku mengambil ketetapan untuk tidak berada di bilik yang banyak pantang larangnya itu. Aku ambil keputusan untuk berada di luar. Bebas untuk buat apa saja. Merokok. Sempat juga aku minum dan sarapan di gerai yang terletak kira-kira 100 meter dari pusat servis.

Terasa begitu lama apabila kita sedang menunggu sesuatu. Sepertimana yang aku sedang tunggu sekarang. Entah pontong yang keberapa. Aku tidak menghitungnya. Rokok. Sehinggalah aku nampak kereta aku dipandu masuk ke ruangan kereta yang sudah siap diservis. Maka tanpa berlengah lagi aku terus masuk ke pejabat pusat servis untuk membuat bayaran dan ingin segera beredar dari situ.

"Eh... macam kenal"

"la... Syed..."

"Emm.. macam mana boleh jumpa di sini ek?"

"Alahai... lamanya tak jumpa. Saya tercari-cari awak. Tapi tak tahu macam mana. Hilang punca" Aku.

Kami bersalaman. Syed adalah kawan lama. Sebenarnya kami sangat akrab suatu waktu dulu terutama semasa sama-sama belajar di SMUASZA. Keakraban kami bagai adik beradik. Cuma terpisah semenjak aku ditugaskan di Johor semenjak 1992 yang lalu.

"Saya pindah ke sini semenjak tahun 2004" terangku.

"Ooo kisahnya. Saya selalu hantar mesej ke Yahoogroup. Abang Yasin dah tak buka benda alah tu lagi.."

"Ya... lama dah saya tinggalkan Yahoo tu"

"Patut la. Saya selalu hantar email ke situ" balas Syed.

Namanya Syed Mohamad, bertugas sebagai kaunselor di salah sebuah IPTA di ibu negara. Pernah sekali dia menziarahiku ketika aku di SMK Bandar Mas. Apa yang pasti kami kemudiannya bertukar-tukar nombor telefon. Pertemuan itu tidak lama memandangkan dia kepenatan sebab baru tiba dari KL pagi ini dan terus ke Pusat Servis ini lantaran tidak berkesempatan servis di KL. Kebetulan, aku pun tergesa-gesa kerana petang nanti aku sudah berjanji dengan anak-anak untuk menziarahi neneknya di Kelantan. Perjalanan masih panjang.

Monday, February 19, 2007

Minyak Urut...

16 Feb - Sudah pukul 10.00am. Aku baru sahaja selesai sarapan mihon goreng yang disediakan oleh minah lenggang (isteriku). Memandangkan hari ini cuti umum, aku tidak dapat buat apa-apa. Terperap. Walaupun sebenarnya banyak perkara yang sedang difikirkan. Semuanya perlu dibereskan. Tentulah kena pilih mengikut keutamaan, meskipun aku tidak berdaya untuk menyiapkan kesemuanya.

Oleh kerana tidak dapat ke mana-mana aku ambil keputusan untuk lepak di kedai Tayek, tempat aku selalu ngeteh itu. Dengan menaiki motor jerangkung, aku menuju kedai Tayek. Ngeteh tidak banyak, cuma secawan sahaja walaupun lepak di situ hingga 12.00 tengahari. Sehingga dekat masuk waktu solat Jumaat, baru aku pulang ke rumah. Orang rumah tidak pernah tanya ke mana aku pergi, lebih-lebih lagi kalau aku hanya bermotor jerangkung sahaja. Kalau keluar naik kereta, barulah dia bertanya. Kemana. Destinasiku.

Di kedai Tayek tadi, aku jumpa seorang lelaki. Orang itu berasal dari negara jiran Thailand. Melayu. Ada janggut sejemput macam orang tabligh. Mula-mula dia memasuki kedai, dia dengan hal sendiri sahaja. Dia pesan nescaffe '0'. Setelah beberapa ketika dia sendirian dengan halnya itu, tiba-tiba dia mula menegurku dan bersalaman. Wah, rupa-rupanya dia jual ubat. Jual minyak urut. Ubat kuat pun ada. Minat juga aku tenguk, tapi aku sudah set dalam minda bahawa aku tidak perlu beli dan tidak akan terpedaya.

Bagiku, minyak urut yang dibawanya itu agak mahal. Sekali hingga tiga kali ganda lebih mahal dari harga sepatutnya menurut perkiraanku. Oleh kerana dia juga menawarkan urut percuma di situ juga, maka ada lah beberapa orang yang mengambil peluang untuk mendapatkan perkhidmatannya. Aku terkecuali. Sekadar memerhati dan menggalakkan sahaja kepada sesiapa yang hendak dapatkan perkhidmatan percuma darinya. Aku dapati semua yang mendapat urutan percuma itu, membeli minyak urut yang dibawanya. Termakan budi. Agaknya.

"Saya tak paksa pakcik beli ubat... saya tolong ikhlas saja"

Dia kata berulang kali kepada orang di sekelilingnya. Namun. Orang tetap beli sekurang-kurang sebotol setelah diurut. Aku tertarik dengan cara dia melayan pelanggan di sekelilingnya. Aku tertarik cara dia dapat duit dengan menjual minyak. Walaupun rata-rata yang singgah di kedai itu adalah untuk minum dan bersarapan. Ubat kuat, tiada pula yang beli. Malu. Agaknya. Aku memang tidak minat ubat kuat jenis sapu.

Friday, February 09, 2007

Tahun Melawat Terengganu 2008

Pukul 1.00pm - Handphoneku berbunyi. Sengaja aku tidak mengangkatnya kerana aku tahu tidak ada faedahnya panggilan itu diangkat kerana line di dalam rumahku tidak berapa baik. Memang line tidak elok atau telefon aku yang kokak. Putus-putus. Sebenarnya bukan telefon yang kokak, linenya yang tidak elok. Lemah.

Aku kemudiannya menyemak panggilan yang baru masuk tadi lalu mendailnya menggunakan telefon talian tetap. Line rumah. Aku kenal sipemanggil tadi ialah Husin, kawanku. Sebentar tadi aku ada mengirimkan SMS kepadanya untuk bertanyakan yang Pasaraya Maidin dibuka atau tidak pada hari ini, kerana hari ini adalah hari Jumaat. Hari cuti di Terengganu. pasaraya Maidin kedua terbesar di Malaysia

26 Jan - Petang Juamaat yang bersinar cerah, kami sekeluarga bergerak ke Kuala Terengganu. Tujuannya satu sahaja. Maidin. Pasaraya Maidin baru sahaja dirasmikan oleh MB Terengganu beberapa hari yang lalu. Jualan murah sudah tentu. Gula pasir hanya 90 sen sekilo. Itu sebab emosi kami terpanggil untuk melihat sendiri.

Tiba di destinasi yang dituju, aku segera meletakkan kenderaan di mana-mana ruang yang masih ada. Tidak boleh memilih. Nanti melepas. Kereta pengunjung teramatlah banyak. Jalan kaki jauh sikit lah petang ini.

Kami masuk melalui pintu sisi sebelah kiri bangunan Pasaraya Maidin. Wah! memang luas dan banyak barang. Macam Pasaraya Makro di Plentong JB, aku bercongak dalam hati. Patutlah pasaraya yang ini diistiharkan terbesar di Pantai Timur dan pasaraya Maidin kedua terbesar di Malaysia.

Bangga sekejap rasanya. Kepimpinan Idris Jusoh (MB Terengganu) membawa kami ke era kemajuan. Dikenali masyarakat luar, bahkan dalam peta dunia. Ada Monsun Cup dan pasaraya Maidin, selain jambatan duyung yang merentasi Sungai Terengganu, ke-2 terpanjang di Malaysia selepas jambatan Pulau Pinang (yang lama). Sudah ada pembinaan jambatan Pulau Pinang yang ke-2. Belum Siap.

"Patutlah di sebelah pintu masuk itu ada signbord Tahun Melawat Terengganu 2008" aku kata pada salah seorang jurujual di pameran komputer yang terdapat di ruang legar pasaraya Maidin.

Jurujual itu senyum. Cepat-cepat dia masuk jarum. Tunjukkan barang-barang di gerainya padaku. Aku minat pada barang-barang komputer yang dipamerkan. Kocek saja yang seakan berkata, kena kontrol berbelanja. Senyum hambar. Aku.

***

Di kaunter pembayaran. Barisan panjang. Semua kaunter. Ada 20 kaunter, semua berbaris panjang. Barang dalam troli di tolak ke depan. Sedikit-sedikit. Pergerakan sangat perlahan. Cepat sikit dari pergerakan siput. Aku tidak suka bersesak. Beratur. Maka minah lenggang (isteri) lah yang jadi tukang beratur. Aku keluar dari barisan yang memenatkan itu. Ambil angin di luar bangunan. Rokok.

Dua jam kemudian baru nampak kelibat isteri dan anak-anak bergerak keluar dari pasaraya yang padat itu. Lesu. Selamat datang ke negeri Terengganu kita...

Sunday, February 04, 2007

Kerja Kerja Kerja - Sehari Suntuk

Letih sungguh badan ustaz. Jam di handset ustaz baru pukul 9.00 malam. Mata ustaz terasa kelat. Lampu bergelung-gelung macam sawat itik 60 wat yang terang putih tampak malap. Sesekali ustaz sangap panjang. Masa tarik menguap itu, mata ustaz jadi kecil. Ustaz tulis cepat-cepat buku ringkasan mengajar untuk kelas esok.

Semenjak bangun subuh tadi, sekelip haram ustaz tidak meletakkan belakangnya macam selalu. Ustaz tahu mulai hari ini jangan mimpi hendak rehat setelah balik sekolah pukul 1.30 petang. anak murid yang dahagakan ilmu fardu ain. Ilmu untuk bekalan di akhirat Ustaz kena sambung mengajar fardu ain di sebelah petang pula. Tiga hari seminggu ustaz ada kelas petang. Itu amanah Yayasan Islam. Elaunnya dalam RM500 untuk tiga kali seminggu itu. Boleh tahan juga. Cuma ustaz tidak boleh ke mana-mana dalam tiga hari. Kena mengadap anak-anak yang badannya berbau tengik.

Situasi begini merupakan pengalaman baru bagi ustaz. Tahun lepas, selepas balik sekolah pukul 1.30 petang, ustaz boleh lakukan apa saja yang ustaz suka. Kini tidak lagi. Hari Ahad, Isnin dan Selasa ustaz kena bertumas di sekolah. Makan tengah hari pun terkejar-kejar. Solat zohor pun tidak boleh berwirid panjang. Ustaz kena kuatkan semangat demi pendidikan anak murid yang dahagakan ilmu fardu ain. Ilmu untuk bekalan di akhirat.

"Huwaaahh...." ustaz menguap lagi.

Buku rekod dimasukkan ke dalam beg yang akan dibawa ke sekolah keesokannya. Ustaz merebahkan belakangnya di tilam span yang semakin lusuh. Terasa palang besi katil di belakang ustaz.

Wah... enaknya ustaz kata dalam hati. Kekejangan urat belakang dan tengkuk ustaz terasa mengendur.

Thursday, February 01, 2007

Pengalaman Dia

Sebulan berlalu untuk tahun 2007. Pantas sungguh masa berlalu meninggalkan kita. Kita dihambat tugas sendiri-sendiri. Haluan masing-masing. Baru sebentar, isteriku memaklumkan bayaran asrama anak bagi bulan Februari, RM36. Sudah bulan dua. Hari-hari berlalu tidak payah dihitung. Berlalu sendiri. Sibuk dengan tugas.

Pada 16 Apr 2007 nanti, genaplah 4 tahun diriku berkhidmat di negeri Terengganu. Negeri kelahiran. Negeri Hadari. Terengganu Bestari. Maknanya, usia blog ini juga 4 tahun. Alhamdulillah dan terima kasih kepada blogspot.

Maknanya, usia blog ini juga empat tahunHari ini baru selesai aku menghabiskan bacaan buku Berburu di Padang Datar, JPNT, 2002. Buku nipis ini menceritakan pengalaman guru-guru. Kompilasi pengalaman guru. Salah satu tulisan yang menyentuh emosi ialah tulisan Rufaifa Abdullah yang bertajuk Sekolah Pertama, seorang guru yang bertugas di SK Bukit Nanas Kuala Terengganu. Sekarang.

Dalam tulisannya menyebut tentang pengalaman beliau semasa pertama kali bertugas sebagai guru di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Sibu Laut, Kucing Sarawak sekitar tahun 1989. Bagaimana perjalanan untuk tiba di sekolah, diceritakannya. Jadi tukang kebun sebelum masuk kelas. Masak RMT guna dapur kayu. Semuanya diceritakan dengan jelas dan bahasa yang lancar.

Apabila menyelami pengalaman orang lama, terasa pengorbanan diri ini di tahap yang tidak sehebat mereka. Syukur pada Tuhan yang tidak meletakkan ujian berat ke atas diriku, kerana diri ini mungkin tidak mampu menanggungnya.