Friday, February 23, 2007

Inilah Tanah Sekangkang Kera

Tok Ayah kelihatan sihat. Segar. Dia baru balik dari mencerut rumput. Untuk makanan lembu peliharaannya. Sebenarnya lembu pawahan. Bukan milik Tok Ayah sepenuhnya.

"Dah lama sampai" Tok Ayah menegurku sambil menghulurkan tangan.

Kami bersalaman. Mertua dan menantu. Tok Ayah adalah bapa mertuaku. Anak-anak aku yang memanggilnya Tok Ayah. Aku panggil dia, ayah.

"Baru sampai. Lewat dah bertolak tadi, pukul 3" terangku.

Mata kami bertaut. Kami menyelami ke dasar mata masing-masing. Itu kebiasaan. Bila kami bersalaman. Lebih-lebih lagi kalau dengan orang tua. Apa lagi kalau dengan ayah mertua sendiri. Orang tua ada berkata, kurang sopan bila bersalaman tidak tenung dalam mata.

Pangkin buluh yang usang dan uzur menjadi sasaran punggung kami berdua. Aku tahu, Tok Ayah kepenatan dan baru balik berpanas kerana memotong rumput untuk makanan lembu-lembu jagaannya. Setelah senggang beberapa ketika, kemudian Tok Ayah bersuara.

"Ayah cadang nak jual separuh tanah kita ini"

Aku terdiam dan menanti penjelasan lanjut Tok Ayah.

"Haji Man tu... sanggup bayar" sambung Tok Ayah lagi.

Rupa-rupanya Tok Ayah sudah lama memendam cita-citanya untuk menyiapkan binaan rumah batunya yang terbengkalai. Tiga puluh peratus lagi belum siap rumah itu. Usianya yang semakin ke penghujung mengharapkan rumahnya dapat disiapkan. Kata Tok Ayah, rumah itu bukan untuk dirinya yang sudah hendak mati tetapi untuk anak cucunya. Bagi menyudahkan rumah yang belum siap itu, Tok Ayah terfikir hendak menjualkan sebahagian tanah yang menjadi tapak rumah yang sedang dibina itu.

"Cuma kalau anak Sin boleh bayar, lebih baik dijual kepada anak Sin. Tidak jatuh ke tanah orang"

Tok Ayah mengatur kata-kata yang mengandung suatu maksud yang berat untuk diluahkan oleh seorang bapa yang kini berusia 86 tahun. Kata-katanya itu ditujukan kepadaku. Aku tidak terus memberi kata putus. Cuma aku masih lagi memikirkan bagaimanakah caranya hendak menyelamatkan tanah itu dari terjatuh ke tangan orang lain. Aku perlu buat sesuatu.

No comments: