Monday, February 19, 2007

Minyak Urut...

16 Feb - Sudah pukul 10.00am. Aku baru sahaja selesai sarapan mihon goreng yang disediakan oleh minah lenggang (isteriku). Memandangkan hari ini cuti umum, aku tidak dapat buat apa-apa. Terperap. Walaupun sebenarnya banyak perkara yang sedang difikirkan. Semuanya perlu dibereskan. Tentulah kena pilih mengikut keutamaan, meskipun aku tidak berdaya untuk menyiapkan kesemuanya.

Oleh kerana tidak dapat ke mana-mana aku ambil keputusan untuk lepak di kedai Tayek, tempat aku selalu ngeteh itu. Dengan menaiki motor jerangkung, aku menuju kedai Tayek. Ngeteh tidak banyak, cuma secawan sahaja walaupun lepak di situ hingga 12.00 tengahari. Sehingga dekat masuk waktu solat Jumaat, baru aku pulang ke rumah. Orang rumah tidak pernah tanya ke mana aku pergi, lebih-lebih lagi kalau aku hanya bermotor jerangkung sahaja. Kalau keluar naik kereta, barulah dia bertanya. Kemana. Destinasiku.

Di kedai Tayek tadi, aku jumpa seorang lelaki. Orang itu berasal dari negara jiran Thailand. Melayu. Ada janggut sejemput macam orang tabligh. Mula-mula dia memasuki kedai, dia dengan hal sendiri sahaja. Dia pesan nescaffe '0'. Setelah beberapa ketika dia sendirian dengan halnya itu, tiba-tiba dia mula menegurku dan bersalaman. Wah, rupa-rupanya dia jual ubat. Jual minyak urut. Ubat kuat pun ada. Minat juga aku tenguk, tapi aku sudah set dalam minda bahawa aku tidak perlu beli dan tidak akan terpedaya.

Bagiku, minyak urut yang dibawanya itu agak mahal. Sekali hingga tiga kali ganda lebih mahal dari harga sepatutnya menurut perkiraanku. Oleh kerana dia juga menawarkan urut percuma di situ juga, maka ada lah beberapa orang yang mengambil peluang untuk mendapatkan perkhidmatannya. Aku terkecuali. Sekadar memerhati dan menggalakkan sahaja kepada sesiapa yang hendak dapatkan perkhidmatan percuma darinya. Aku dapati semua yang mendapat urutan percuma itu, membeli minyak urut yang dibawanya. Termakan budi. Agaknya.

"Saya tak paksa pakcik beli ubat... saya tolong ikhlas saja"

Dia kata berulang kali kepada orang di sekelilingnya. Namun. Orang tetap beli sekurang-kurang sebotol setelah diurut. Aku tertarik dengan cara dia melayan pelanggan di sekelilingnya. Aku tertarik cara dia dapat duit dengan menjual minyak. Walaupun rata-rata yang singgah di kedai itu adalah untuk minum dan bersarapan. Ubat kuat, tiada pula yang beli. Malu. Agaknya. Aku memang tidak minat ubat kuat jenis sapu.

1 comment:

Anonymous said...

biasalah orang kita.. kalau dah urut tuh.. malulah kan kalau tak bayar atau tak beli sesuatu.. sebnarnya tuh cara marketing yang bagus tuh.. hehehe.. urut free.. beli minyak.. sebnarnya harga minyak tuh dah masuk rege urut tadi..