Wednesday, April 14, 2004

SELAMAT TINGGAL KAWAN, MURID SMKBM YANG TERSAYANG



TIDAK dinafikan bahawa pakteh emosi sekali ketika berada dalam majlis
perpisahan itu. Terima kasih untuk semua yang menganjurkannya terutamanya pihak ajk Kelab Keluarga SMKBM. Namun hakikatnya pakteh sudah pasti pindah sekolah. Dapat balik kampung. Bertugas di negeri kelahiran pakteh, Terengganu. Doa pakteh sekian lama termakbul. 12 tahun pakteh menunggu.


Masa posting dulu, pakteh masih bujang. Ketika itu pakteh masih muda dan bertenaga untuk menjalankan tugasnya. Selepas 12 tahun, kini pakteh sudah banyak yang memutih rambutnya. Gigi pakteh pun ada yang sudah sakit. Lutut Pakteh sudah semakin lemah. Naik tangga sikit sudah mula sengal-sengal. Anak pakteh sudah ada 3 orang. Anak yang sulung darjah 4 dan yang paling kecil berusia 2 tahun. Itulah tempuh waktu yang pakteh lalui dengan penuh harapan untuk pulang ke kampung halaman. Pulang di samping ibu yang sudah uzur. Semakin hari semakin uzur.


Pakteh masih ingat rentetan peristiwa utama sepanjang pakteh bertugas di smkbm. Namun pakteh ingin mengingati yang indah-indah sahaja. Pengalaman pahit pakteh tinggalkan di sekolah lama pakteh. Lagipun pengalaman indah di sini (smkbm) tidak banyak. Kalau pakteh ketawa sekalipun, pakteh hanya ketawa zahirnya sahaja. Di dalam hati, pakteh bersedih kerana terpaksa merantau jauh. Sedih kerana lama sangat pakteh terpaksa menunggu hari perpindahan pakteh, seperti hari ini. Esok
14 Apr 2004 pakteh akan bertolak ke Terengganu, untuk melapor diri di tempat baru.


Tentu pakteh akan merindui anak pakteh, terutamanya yang bongsu. Anak kecil pakteh baru faham sikit-sikit retak kehidupan. Pakteh bersendirian sahaja di Terengganu sehingga cuti semester bulan Mei 2004 nanti. Isteri & anak-anak masih di Johor kerana bersekolah di SKBM. Pakteh
fikir cuti penggal penghujung bulan Mei nanti baru pindah sepenuhnya. Baru
pakteh tukarkan persekolahan anak-anak pakteh.


Sesekali wajah isteri pakteh terbayang di benak pakteh. Wajah itu turut
gembira. Dari semalam (12 Apr) dia sudah mengemas barang-barang. Padahal nak pindah rumah, lama lagi. Masih ada masa 1 bulan lagi untuk mengemas itu semua. Anak-anak pakteh yang lain juga terut membantu ibunya. Bagus semuanya anak-anak pakteh. Bagus anak-anak soleh pakteh. Suka tolong ibu.



13 APRIL 2004 - Majlis Perpisahan Pakteh



Satu majlis perpisahan ringkas (tapi bermakna bagi pakteh yang low profil ini) telah diadakan. Majlis anjuran Kelab Keluarga(KK) SMKBM. KK smkbm ini
dipengerusikan oleh En Suhaimi Omar (ketika ini). Jamuan makan tengahari dan
ucapan yang dihadiri oleh semua guru dan kakitangan juga.



Dalam sesi ucapan, pakteh tergamam. Pakteh tidak dapat meneruskan ucapan perpisahan, kecuali beberapa kerat ayat yang bermaksud memohon maaf sahaja. Kawan-kawan seperjuangan yang ditinggalkan di smkbm harapnya faham. Bukan pakteh sombong, tapi pakteh tidak dapat meluahkan kata-kata. Sebab itu pakteh tuliskan sahaja di sini.



Tulis dengan cakap mungkin tak sama. Kalau cakap, mungkin nampak lebih dramatik sikit. Tulis, hanya untuk yang membacanya sahaja.



Apakan daya, pakteh hanya mampu menulis. Selebihnya, biarlah Tuhan yang menentukan. Kepada yang terjumpa mesej pakteh ini, panjang-panjangkanlah kepada warga smkbm terutama Tn Hj Idris Ahmad (pengetua). Pakteh mohon banyak maaf daripada tuan haji. Pakteh banyak buat tuan haji susah (tengah menaip pun menitis air mata juga ni). 



Buat bekas anak-anak didik pakteh, pakteh juga mohon maaf kerana tidak dapat bertemu kesemuanya. Pakteh tak boleh. Kalau jumpa anak-anak didik nanti, banyak menangis pulak. Orang Jawa kata, "cengeng" sikit pakteh ni, walaupun nampak garang. Mana-mana anak didik yang terkena penangan pakteh tu, pakteh mohon maaf. Niat pakteh murni, pakteh mahu anak-anak didik jadi pelajar yang berguna. Maafkan ustaz yasin ya... (pakteh).



Pakteh berhenti di sini dulu... sebab pakteh nak ke Trg pula ni.


No comments: