Tuesday, January 02, 2007

Melangkah Ke Alam Persekolahan

Uniform sekolah ibu sudah gosok siap-siap. Seperti sebelumnya juga, tiga set uniform yang ibu gosokkan. Dua anak dan satu lagi untuk sibapa. Anak sekolah ada dua. Along sudah naik tingkatan tahun ini. Tinggal di asrama. Tahun ini juga tambah satu lagi anak sekolah. Masuk pra-sekolah. Jumlahnya kekal dua yang kena urus hari-hari makan pakainya.

"Adik kena tidur awal, esok nak gi sekolah"

Adik faham apa yang ibu cakapkan. Memang sudah lama adik berangan untuk ke sekolah macam abang dan kakak. Beg sekolah adik sudah hampir setahun dibeli. Pensil warna pun sudah banyak kotak yang dikerjakan adik. Abang dan kakak beli, untuk adik mesti ada juga satu. Banyak sudah kertas dan lukisan yang adik warnakan. Pandai pun.

Tanpa banyak bicara lagi adik masuk bilik. Adik tahu dia kena bangun awal. Adik sudah enam tahun. Esok kena mandi awal pagi, pakai baju sekolah yang baru dibeli di pasar malam.

Ibu beli kainnya. Ibu jahit sendiri baju adik itu. Pun kena jahit tangan sahaja sebab mesin tiba-tiba meragam. Tidak boleh digunakan. Hendak dihantar ke bengkel, duit pula yang tidak berapa cukup. Banyak sudah habis beli keperluan persekolahan.

Tangan ibu terus lancar menggosok baju dan seluar. Lepas sehelai siap, digantungnya baju itu elok-elok. Jangan sampai berkedut lagi. Ibu urus dengan teliti.

Fikiran ibu terkenang Along di asrama. Siang tadi sudah dihantar ke asrama. Rindu. Barangkali along pun rindukan ibu malam-malam begini.

"Ya Allah, selamatkanlah anak-anakku" terdetik di hati ibu yang sendu.

3 comments:

sya said...

Pak Teh

Terimakasih kerana mengunjungi blog saya.. baru lepas menghantar anak yg sulong juga ke asrama. Memang rindu

jeff said...

Pakteh .. selamat kembali bertugas ! moga lebih berjaya 2007, Insya Allah.

.. cerita anak masuk sekolah yang punya inspirasi tersendiri :D

iEn said...

uwaa.. windu kat asramaa! nasik lemak sedap woo!