Friday, January 05, 2007

Rayuan

Bergegas ayah memandu ke PPD untuk membuat rayuan penempatan anak perempuannya. Anak-anak orang lain sudah mendaftarkan diri masing-masing. Anak ayah saja yang masih menunggu tawaran. Seminggu yang lalu ayah sudah pun ke PPD berjumpa dengan pegawai penempatan bahagian sekolah menengah.

"Ikutkan kelayakan memang dah layak" jelas pegawai yang ditemui ayah seminggu yang lalu. Anak ayah dapat 3A2B dalam UPSR.

"Mudah-mudah tuan dapat lah menolong untuk masukkan anak saya ke sekolah tu..." ayah berharap.

Harapan yang dihulurkan pegawai bahagian penempatan sekolah menengah tempoh hari menyuntik semangat buat ayah. Harapan untuk memasukkan anaknya ke sekolah pilihan ayah itu masih menebal macam misai Dato K.

Surat rayuan telah diserahkan kepada kerani yang berada di kaunter.

"Kena tunggu Encik, En Adan gi makang..." kata kerani dalam loghat Terengganu.

"Tak apa... saya tunggu"

Ayah menyandarkan belakang ke kerusi menunggu yang dibuat daripada rotan. Majalah lama di rak sebelah tempat duduk itu digapainya. Ayah menyelak majalah. Bukan dibaca pun. Fikiran ayah memikirkan bagaimana hendak memujuk pegawai penempatan itu nanti. Kalau boleh hari ini juga biar terus dapat keputusan untuk masuk ke sekolah pilihan ayah itu.

Jam sudah 3.30 petang. Lama la pulak... orang ni gi makan, ayah berkata dalam hati.

Bukan ayah seorang yang menunggu, ada orang lain juga. Ayah tidak bertanya pada mereka yang menunggu itu apa kah halnya mereka tercanguk di situ. Fikiran ayah berlegar dalam benak ayah sendiri sahaja. Dia orang punya hal lah, kata hati kecil ayah.

"Bos... ada hal nak minta tolong dengan bos ni..." sapa ayah sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman sebaik sahaja pegawai yang dinanti melangkah masuk melalui ruang mengunggu. Sengaja ayah guna stail begitu supaya nampak lebih mesra. Itu stail orang Terengganu berbahasa dengan orang yang pangkat besar.

"Boleh... masuk lah"

Ayah mengekori pegawai itu macam orang salah. Langkah ayah sungguh sopan menuju bilik pegawai.

Setelah perbincangan selesai ayah meninggalkan bilik pegawai dengan senyuman. Langkah ayah kelihatan bergaya macam jalak ngurat betina. Ayah angkat tangan dan sedikit melambai kepada beberapa kerani yang sibuk di meja masing-masing dalam ruang pejabat berdinding kaca.

Ayah senang hati. Usaha ayah membuahkan hasil. Hajat ayah tercapai. Hasrat ayah untuk menempatkan anaknya ke sekolah terbaik pada pendapat ayah sudah terlaksana. Petang itu juga ayah membawa anak sulongnya mendaftarkan masuk ke SMK Pelong.

2 comments:

DBI said...

erm..kes macam ni kira pakai kabel jugak kah...?tapi tak per... ayah memang akan lakukan yang terbaik uyk anak2..kan pakteh?

pakteh said...

Kalau kita kenal org itu, bolehlah dianggap kabel. Tapi kalau tak kenal batang hidung, tak panggil kabel kot. Just "rayuan"