Wednesday, January 10, 2007

Rendahnya Maruah...

Usianya sudah melebihi 56 tahun. Cukup banyak pengalaman Paklah tentang resam hidup. Selok belok pentas dunia yang meterialistik. Itulah sebabnya apabila bercakap suara Paklah lantang dan lancar macam air bah yang melimpahi tebing sungai di belakang rumahnya yang hanya 300 meter itu.

Baru beberapa saat kereta kancil PDRM melintas depan warung Paklah. Paklah kaki berniaga. Dari muda hingga sekarang Paklah mesti tinggal di rumah kedai walau sudah berapa kali berpindah tempat dan bertukar bini. Tukar bini? Ya, bina lama Paklah yang pertama sudah bercerai, bina baru Paklah, janda muda waktu berkahwin dengan Paklah 20 tahun yang lalu.

"Tu, tenguk dah lalu. Nak gi tinjau keadaan banjir..." Paklah mengomel apabila kereta polis melintasi depan warungnya.

"Kerja dia..." sampuk Pakteh.

"Bukan nak tenguk banjir sangat... nak gi kedai tempat air ketum" Paklah sambung balik.

"Ya ker?"

"Dua tiga hari sekali, masuk kedai air ketum tu... ambil duit. Sekali masuk seratus" terang Paklah lagi. Pada wajahnya melimpah rasa kejengkelan dengan sikap polis.

Polis yang itu, bukan yang lain. Polis yang meronda di Kampung Merbau Menyusut. Polis lain mungkin bukan yang macam polis Merbau Menyusut yang balainya di Pekan Sungai Tong, 20km dari Merbau Menyusut. Gaji polis berapa lah sangat. Logiknya mereka tidak mampu hidup seperti sekarang. Mewah!

Dalam suara Paklah itu seperti ada sesuatu yang dia tidak berpuas hati dengan pasukan keselamatan yang menjaga keamanan ini. Seperti ada sedikit dendam dengan pasukan yang disanjung oleh kanak-kanak dalam rancangan Gerak Khas yang disiarkan di TV. Gerak Khas itu filem, berlakun. Bagus. Realitinya belum pasti.

"Ooo.." Pakteh mengangguk-angguk. Reaksi Pakteh seperti meminta Paklah meneruskan komentar.

Orang lain diam. Terbentang karpet sepi disimbah gerimis yang turun dan sesekali lebat. Musim tengkujuh seakan-akan mahu bermula.

Pakteh bukan berdua dengan Paklah. Ada lagi. Cikgu Razak, Guru Besar SK Merbau Menyusut pun ada. Pak Isa pun ada. Pak Isa pun orang kuat juga. Imam di Kampung Merbau Menyusut. Empat kepala, lapan biji mata saling bertaut. Pasti menanti huraian dan hujjah Paklah, tuan punya warung dan paling nyaring suaranya.

"Tak boleh ker... polis rampas periuk yang digunakan untuk rebus air ketum tu" tanya Paklah pada Pakteh. Sebenarnya pada semua orang, cuma Pakteh yang paling hampir dengan tempat duduk Paklah.

"Boleh... dia ada kuasa, cuma sengaja dia nak makan hasil lama.." Paklah jawab sendiri pertanyaannya.

"Ermm, emmm... begitu pulak..." Pakteh mengerutkan kening. Mata Pakteh dan Paklah tertancap erat antara satu sama lain.

Makjah yang bisnes air ketum itu pernah kena tangkap. Bayar denda, lepas. Jual lagi. Air ketum. Itu saja mata pencariannya.

Masyarakat kampung tidak boleh ambil tindakan lain lagi melainkan membuat laporan kepada pihak berkuasa. Polis. Polis kata tiada bukti. Budak-budak remaja, orang dewasa berbagai lapisan bertali arus. Ulang alik ke kedai Makjah. Dapatkan bekalan air ketum. Macam mana pula tiada bukti. Periuk dan dapur rebusan air ketum itu?

Jawatankuasa kampung nasihatkan Makjah supaya menghentikan perkhidmatan merebus air ketum. Merosakkan anak kampung kita sendiri. Makjah buat pekak macam badak.

"Ala mereka yang datang mencari. Saya bukan suruh anak-anak awak datang beli..." helah Makjah suatu hari.

Orang kampung gigit jari. Cebik bibir. Air ketum jual juga.

"Tak faham aku" keluh Paklah.

"Ya... ya"

"Anak bujang aku pun dah terikut sama. Geng minum air ketum. Nak buat macam mana... benda depan mata. Nak kawal macam mana, budak dah besar" panjang lebar luahan rasa Paklah. Barangkali sudah lama dipendamkan di lubuk jiwa.

"Kita pun tiada bukti untuk tuduh polis makan rasuah dari Makjah" Pakteh cuba menenangkan keadaan.

"His!... sebodoh-bodoh orang kampung ni, boleh baca apa yang polis buat"

"Memang... saya pun fikir begitu. Cuma polis tu, lebih bijak dari kita. Kita tak boleh nak perangkap dia terima rasuah" kata Pakteh dengan nada perlahan. Biasalah, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar.

"Tokey getah pun gitu. Dia datang mintak duit juga. Sebab itu lah orang Thailand bebas kerja menoreh di kampung kita ni" Paklah kemukakan bukti dan contoh lain.

"Ya tak ya juga... bukannya ada permit dia orang tu" Pakteh mengiyakan dalam hati.

Semua orang kampung boleh faham apa yang berlaku antara polis, Makjah dan tokey getah itu. Sogokan tentu ada. Cuma payah nak dibuktikan dengan bahan atau wang yang disogokkan.

Bagaimana mungkin polis biasa pakai kereta wira atau waja. Anak sekolah dua tiga orang. Isap rokok Dunhill. Rokok saja sudah berapa kosnya sebulan. Gaji polis berapa lah sangat. Logiknya mereka tidak mampu hidup seperti sekarang. Mewah. Itu yang mencurigakan orang kampung. Cuma orang kampung tetap orang kampung. Tidak boleh buat apa-apa. Setakat berhujjah di kedai kopi. Mengalahkan menteri. Satu pun tidak menjadi.

11 comments:

Anonymous said...

Pakteh..masih ada lagi rupanya isu air ketum ni..ingatkan dah selesai..tapi klu pengaman negarapun dah makan rasuah..siapa lagi yang nak mempertahankan keamanan dan perundangan negara kita..merdeka dah nak dekat 50 tahun dah..tapi minda masih lagi dijajah..dijajah oleh pengaruh yang negatif dalam kehidupan

Anonymous said...

Langkap kerajaan memikirkan untuk menaikkan gaji kakitangan awam adalah baik... agar rasuah dikurangkan. Kos hidup yang mendesak perbuatan rasuah.

Anonymous said...

itulah yg mampu rakyat marhaen seperti kita meluahkan kekesalan.lebih2 kan ISA pulak.

Pa'chik said...

kat perlis, deme buat serbuk, minum ngan kopi.

pakteh, naik gaji tu cukup ke utk bayar ansuran wira? takkan pernah cukup utk ketamakan manusia tu.

Sepatutnya, utk penguatkuasa undang-undang yg bersalah, hukuman harus dua kali lipat dari orang biasa.

Anonymous said...

Dalam maksud entry ini pakteh, bagi Am jika yg paling atas serupa yg bawah pun ikutlah, betulkan yg atas baru bawah boleh ikut

oh ya, Air ketum tu apa ya

Razif AR Al-Marbawi said...

kat Malaysia sekarang ni memang susah nak cari orang yang betul-betul amanah dengan kerjanya, contoh polis, bomba, dan lain-lain lagi. Kebanyakan mereka sekarang (bukan semua), tidak komited terhadap tugas mereka. Orang-orang beginilah perlu didedahkan agar orang lain tidak mencontohi sifat dan kelakuan orang tersebut.

Anonymous said...

Am:
Air ketum ialah rebusan daun ketum yang terdapat di hutan. Meminumnya boleh mabuk, macam dadah juga la. Ia merangsang saraf pengamalnya untuk kerja kuat kot...

Dulu air ketum ini pernah digunakan oleh golongan petani untuk menambah tenaga supaya mereka dapat bekerja dengan lebih kuat.

Abang Long said...

bak kata seorang tuan guru: "apa benda pun yang kita nak buat, ingat dulu samada DOSA atau PAHALA, insyaAllah kita selamat jika membuat pilihan yang tepat. Bak kata seorang ahli falsafah: "jika kamu tidak dapat membuat sesuatu kebaikan, jangan pula kamu merosakkannya".

Anonymous said...

uishhhh.. air ketum??? tak sangka wujud lagi rupanya pokok ni yer?? Thot dulu diorang dah musnahkan dah kat terengganu..

teringat pulak kat sate wak radol.. dulu orang kata ada campur perasa ketum ni.. tuh yang orang dok berulang jer..

Anonymous said...

hasil hutan ni sebenarnya tak merosakkan. air ketum macam ganja juga. asalnya tak merosakkan. tapi bila salah guna tu lah jadinya. apa pun yang dah difatwakan Haram tetap Haram.

BudakCatwalk said...

kadar rasuah pasukan unifrom nie agak membimbangkan.. mungkin kerana kadar pendapatan yg agak rendah.. dgn taraf hidup yg semakin tinggi, itu mungkin menjadi satu jln yg paling mudah utk mendapat duit..

harap akan ada perubahan krn kita bergantung pd mereka2 nie utk menjaga keamanan negara..