Wednesday, February 21, 2007

Kawan Lama

KTR 17 Feb - Mejor Servis. Perkataan itu bersarang dalam kepala aku. Kalau semalam boleh lepak-lepak, hari ini seawal 8.00am aku sudah siap sedia untuk ke Kuala Terengganu. Temujanji untuk servis kereta sudah dibuat petang semalam menerusi handphonenya. Bertolak perlu awal supaya tidak terlewat. Maklumlah perjalanan akan lebih 60km dari rumah.

"Kak Umi saja boleh ikut" kataku.

Aku membenarkan anak sulung aku itu ikut ke Kuala Terengganu kerana aku hendak belikan uniform KRS untuknya. Kalau tidak, aku rasa lebih baik aku pergi seorang sahaja. Aku tahu, servis kereta biasanya mengambil masa yang bukan sekejap. Selepas siap servis kereta barulah kita ke kedai yang menjual uniform yang dimaksudkan. Ternyata Kedai REX TRADING yang terletak di Pusat Bandar Kuala Terengganu itu terdapat segala-galanya keperluan unit uniform di sekolah. Harganya berpatutan. Ringkas cerita terbang lah RM2 ratus.

Benar seperti yang diduga. Lebih dua jam setengah aku dua beranak tersadai di Pusat Servis itu. Nasib baik pusat servis ada menyediakan bilik yang agak selesa untuk menunggu. Bilik itu dilengkapi dengan pendingin hawa, bilik air dan TV. Aku bukan suka duduk dalam bilik berhawa dingin itu. Tak boleh nan 'memerun'.

"Akak tunggu dalam bilik ini. Ayah kat luar" aku mengarahkan.

Sebelum itu aku berikan satu handphone aku kepada Kak Umi. Hanphone lagi satu ada bersamaku. Sekurang-kurangnya kami boleh berhubung sekiranya ada kecemasan, fikirku.

Aku mengambil ketetapan untuk tidak berada di bilik yang banyak pantang larangnya itu. Aku ambil keputusan untuk berada di luar. Bebas untuk buat apa saja. Merokok. Sempat juga aku minum dan sarapan di gerai yang terletak kira-kira 100 meter dari pusat servis.

Terasa begitu lama apabila kita sedang menunggu sesuatu. Sepertimana yang aku sedang tunggu sekarang. Entah pontong yang keberapa. Aku tidak menghitungnya. Rokok. Sehinggalah aku nampak kereta aku dipandu masuk ke ruangan kereta yang sudah siap diservis. Maka tanpa berlengah lagi aku terus masuk ke pejabat pusat servis untuk membuat bayaran dan ingin segera beredar dari situ.

"Eh... macam kenal"

"la... Syed..."

"Emm.. macam mana boleh jumpa di sini ek?"

"Alahai... lamanya tak jumpa. Saya tercari-cari awak. Tapi tak tahu macam mana. Hilang punca" Aku.

Kami bersalaman. Syed adalah kawan lama. Sebenarnya kami sangat akrab suatu waktu dulu terutama semasa sama-sama belajar di SMUASZA. Keakraban kami bagai adik beradik. Cuma terpisah semenjak aku ditugaskan di Johor semenjak 1992 yang lalu.

"Saya pindah ke sini semenjak tahun 2004" terangku.

"Ooo kisahnya. Saya selalu hantar mesej ke Yahoogroup. Abang Yasin dah tak buka benda alah tu lagi.."

"Ya... lama dah saya tinggalkan Yahoo tu"

"Patut la. Saya selalu hantar email ke situ" balas Syed.

Namanya Syed Mohamad, bertugas sebagai kaunselor di salah sebuah IPTA di ibu negara. Pernah sekali dia menziarahiku ketika aku di SMK Bandar Mas. Apa yang pasti kami kemudiannya bertukar-tukar nombor telefon. Pertemuan itu tidak lama memandangkan dia kepenatan sebab baru tiba dari KL pagi ini dan terus ke Pusat Servis ini lantaran tidak berkesempatan servis di KL. Kebetulan, aku pun tergesa-gesa kerana petang nanti aku sudah berjanji dengan anak-anak untuk menziarahi neneknya di Kelantan. Perjalanan masih panjang.

4 comments:

Anonymous said...

Pakteh...tiap kali lalu depan smkj , sg petani saya rindu dgn kawan² lama...agaknya dimana dia org?

Anonymous said...

Samalah... saya juga rindu untuk menemui kawan-kawan lama semasa di smuasza dulu. Langsung terputus hubungan.

Anonymous said...

bila baca n3 nih,terus teringat kawan2 lame masa sekolah2 dulu.ape citer diorang ek.

Syed USM said...

Al Fatihah utk Pak Teh
Semoga Allah mencucuri rahmat NYA