Sunday, December 24, 2006

Simuka Plastik dan Bontot Tempayan

Memang muka plastik. Tiada tanda-tanda malu dengan perbuatan sumbang yang sudah zahir di khalayak. Banyak kali terserempak perbuatan sumbangnya itu. Kali yang terakhir ini betul-betul mencabar kewibawaan orang kampung. Tambahan pula yang terserempak itu Pengerusi JKK sendiri yang merangkap imam di kampung. Tiap-tiap bulan datang ambil ubat perancang, ingat ada laki.

Tindakan yang macam mana mahu diambil oleh orang kampung?. Memang kena buat sesuatu sebelum turun bala Tuhan ke atas seluruh penduduk kampung gara-gara kemungkaran yang dibiarkan. Pengerusi sudah buat laporan di Pejabat Agama, petang itu juga. Tinggal pihak Pejabat sahaja yang belum mahu bertindak. Prosedur apa lagi yang barangkali tidak kena. Itu yang membuatkan Pengerusi rasa tidak sedap hati.

Terfikir di benak Pengerusi, malas hendak campur lagi hal macam ini. Akan tetapi desakan orang ramai kena ambil kira juga. Tidak boleh mengalah dengan keadaan. Tidak boleh mengalah dengan suasana menghimpit. Pengerusi di pihak yang benar.

Kalau yang satu itu muka plastik, pasangan ajnabinya itu muka bontot tempayan. Juga tidak reti hendak insaf. Dicabarnya Pengerusi supaya buat laporan kepada pihak atasan. Sudahlah buat kerja haram. Cabar suruh laporkan pula. Memang muka bontot tempayan.

Dua hari yang lalu Pengerusi berdua dengan kawannya yang melihat sendiri kejadian sumbang antara bini orang dengan duda simuka bontot tempayan sedang beraksi di sebuah bangsal di ladang getah hujung kampung. Terperanjat pasangan itu. Dengan muka selamba sahaja mereka berhenti dan mengenakan pakaian masing-masing.

"Kacau daun la pulak" itu agaknya yang bertunjang di kepala hotak pasangan yang dirasuk syaitan itu apabila Pengerusi menegur perbuatan terkutuk mereka.

Prosedur menangkap pasangan maksiat ini payah rupanya. Bukan boleh tangkap begitu saja. Fikir Pengerusi apabila laporannya tidak mendapat tindakan segera pihak berkuasa agama. Tiada pegawai yang hendak tandatangan dokumen, kata kerani bertugas kepada Pengerusi yang datang buat laporan hari itu. Pengerusi jadi buntu fikirannya. Digaru-garu kepalanya yang berlapikkan kupiah putih itu. Dalam hati Pengerusi nekad. Apa cara pun, dia kena pastikan juga kedua-dua penzina ini diambil tindakan undang-undang. Kalau tidak maruahnya akan luluh. Kalau tidak, makin naik lah tocang mereka.

"His!" dengus Pengerusi sambil membalingkan ranting reput yang dipegangnya sejak tadi ke halaman. Tea "O" di depannya dihirup habis. Pengerusi berdiri membetulkan kain pelikatnya yang lusuh. Lembayung petang semakin menghampiri garisan penamat.

2 comments:

Aina@Azila said...

Hishh..apa la nak jadi kat org sekarang ni yer? Buat keje kat bangsal ladang getah tu tak kena ketit dengan nyamok ker...

Tapi kan Pak Teh, kat negara Arab ni terutama UAE pun maksiat berleluasa...

asriwn said...

Orang yang berimankan nafsu memang tidak kisah nyamok ker ape ker............mungkin mereka lupa azab yang akan menimpa kelak